Anda di sini

AirAsia X kembali untung pada suku ke-3 2016

Advertisement

KUALA LUMPUR: Airasia X Bhd kembali meraih keuntungan dengan mencatat untung sebelum cukai sebanyak RM12.01 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2016 berbanding rugi sebelum cukai RM291.42 juta pada tempoh sama 2015.

Perolehan meningkat 24 peratus kepada RM982.40 juta daripada RM793.01 juta sebelum ini.

Dalam kenyataan kelmarin, AirAsia X berkata prestasi lebih baik pada suku ketiga 2016 itu didorong peningkatan 54 peratus bagi perolehan penerbangan berjadual, dan kenaikan pendapatan sokongan sebanyak 50 peratus serta penambahan 34 peratus bagi pendapatan pajakan operasi pesawat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Kamarudin Meranun berkata, laluan Australia terus menjadi penyumbang perolehan tertinggi kepada syarikat iaitu 33 peratus daripada perolehan keseluruhan bagi tempoh suku berkenaan, diikuti sektor China.

Melangkah maju, beliau berkata, syarikat yakin namun berhati-hati bahawa mereka berada di kedudukan tepat untuk mencapai keuntungan bagi setahun penuh pertama sejak 2013.

Sementara itu, CEO Malaysia AirAsia X, Benyamin Ismail berkata Malaysia AirAsia X akan meraih manfaat daripada persekitaran mata wang yang lemah memandangkan pengunjung tempatan dan asing mengambil kira Malaysia sebagai destinasi percutian terbaik dari segi kos, semasa kemuncak musim cuti akhir tahun.

“Destinasi yang kami tawarkan adalah lebih menarik berbanding destinasi mata wang tinggi seperti Eropah dan Amerika Utara,” katanya. — Bernama

Advertisement