Anda di sini

Kongres Asia berkenaan Mekanik Bendalir sedia platform terbaik untuk bertukar idea

Advertisement
 (Dari kiri) Tang, Munisamy dan Chiang serta dua perwakilan lain mengambil bahagian pada sesi bergambar selepas perasmian kongres kelmarin. — Gambar Kong Jun Lung

PLATFORM: (Dari kiri) Tang, Munisamy dan Chiang serta dua perwakilan lain mengambil bahagian pada sesi bergambar selepas perasmian kongres kelmarin. — Gambar Kong Jun Lung

KUCHING: Kongres Asia berkenaan Mekanik Bendalir (ACFM) menyediakan platform terbaik untuk bertukar idea dan pengalaman serta mengasimilasikan maklumat terkini dalam bidang berkaitan.

Presiden Institut Jurutera Malaysia (IEM) Tan Yean Chin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Kongres ke-15 ACFM di sini kelmarin.

“Saya gembira untuk menyatakan bahawa kongres ini telah berjaya membawa pelbagai jurutera dari pelbagai negara untuk bersama-sama dan sesungguhnya amat berbesar hati untuk menjadi tuan rumah.

“Kita telah menjemput penceramah terkenal yang akan membentangkan pelbagai topik yang berkaitan dengan pelbagai bidang berkenaan mekanik bendalir,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Naib Presiden IEM, Profesor Dr Jeffrey Chiang kelmarin.

Tan berkata, objektif ACFM adalah untuk mengkaji kemajuan yang telah dicapai dalam bidang mekanik bendalir untuk memudahkan pertukaran perbincangan dan keputusan berkenaan isu dalam amalan penyelidik dan jurutera mekanik bendalir.

Tan menambah ACFM dianjurkan dengan tujuan untuk menggalakkan kerjasama saintifik dan teknikal dan pertukaran idea di kalangan negara-negara Asia.

Begitu juga, pengerusi penganjur kongres, Profesor Dr Kannan Munisamy berkata, mekanik bendalir adalah bidang yang berpotensi besar untuk dijadikan topik perbincangan.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Mekanik Bendalir (AFMC) Asia Professor G. S. Bhat berkongsi bahawa AFMC telah diasaskan pada tahun 1980 di India untuk memajukan penyelidikan dalam mekanik bendalir di Asia melalui interaksi dan pertukaran maklumat antara pekerja dalam bidang mekanik bendalir.

Pada masa sama, IEM dalam satu kenyataan berkata setiap ACFM, perkembangan terkini dalam mengkaji teori, amalan dan pengiraan serta kemajuan industri dan teknologi dalam mekanik bendalir telah dibentangkan.

Kongres ACFM ke-15 2016 yang bermula 21 November dan berakhir pada 24 November ini telah disertai oleh 150 peserta dari Jepun, China, Malaysia, Bangladesh, Republik Czech, Pakistan, India, Sri Lanka, Indonesia, Amerika Syarikat dan Iran.

Oleh itu, Tan berharap semua perwakilan di ACFM-15 2016 akan mengambil bahagian secara aktif.

Beliau juga memuji penasihat Jawatankuasa Tempatan ACFM Datuk Dr. Ow Chee Sheng yang merupakan mantan Presiden IEM kerana memainkan peranan penting dalam membawa 15 ACFM 2016 ke sini.

Selain itu, Tan juga merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan kerajaan negeri serta Biro Konvensyen Sarawak, organisasi dan insitusi berkaitan.

Antara yang hadir pada majlis perasmian Kongres Asia ke-15 di Mekanik Bendalir 2016 itu adalah Pengerusi IEM Cawangan Sarawak, Vincent Tang, perwakilan asing dan tempatan serta rakan jurutera.

Advertisement