Anda di sini

Persatuan Penjagaan Paliatif Miri kini miliki premis kekal

Advertisement

// Oleh Connie Sylvia Mesa //

 (Dari empat kiri) Dr Loh, Ong, Jackie (kanan) serta tetamu kehormat lain melakukan simbolik perasmian pembukaan premis PCAM di Miri, baru-baru ini.

RASMI: (Dari empat kiri) Dr Loh, Ong, Jackie (kanan) serta tetamu kehormat lain melakukan simbolik perasmian pembukaan premis PCAM di Miri, baru-baru ini.

SELEPAS menumpang di Hospital Miri dan menyewa dua buah rumah dalam tempoh 11 tahun, akhirnya Persatuan Penjagaan Paliatif Miri (PCAM) mempunyai sebuah premis kekal atas sumbangan dan jasa daripada pelbagai pihak di Miri.

Majlis perasmian premis telah disempurnakan oleh Kaunselor Ong Chee Yee yang mewakili Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin.

Hadir sama pada majlis terbabit ialah Presiden PCAM Dr Loh Yunn Hua, Naib Presiden Jackie Buri, Ahli-ahli Jawatankuasa PCAM 2015/2016 serta wakil-wakil daripada organisasi, individu yang memberi sumbangan dan bantuan kepada PCAM.

Jackie yang juga Ketua Koordinator PCAM berterima kasih kepada pelbagai pihak atas sumbangan yang diberikan dalam menjadikan impian mereka sebuah realiti untuk memiliki sebuah premis sendiri bagi menjalankan perkhidmatan dan aktiviti berkaitan.

Katanya, biarpun sudah memiliki premis sendiri, namun pihaknya masih mengalu-alukan orang awam atau individu untuk tampil menghulurkan sumbangan.

“PCAM adalah sebuah persatuan sukarelawan yang bukan mencari keuntungan dan bertindak bagi menyediakan perkhidmatan paliatif kepada pesakit yang memerlukan tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa, mahupun ekonomi pesakit serta ahli keluarga pesakit,” katanya.

PCAM yang terletak di No. 406, Jalan Piasau Edar, Piasau Garden di Miri ditubuhkan pada tahun 2005 oleh seorang doktor perubatan, Dr Mieke Van De Leemput dari Belanda bersama rakannya.

Penjagaan paliatif adalah mengenai penjagaan dalam meringankan penderitaan pesakit yang mengadapi penyakit yang sukar diubati serta memberikan sokongan terbaik untuk kualiti hidup pesakit serta ahli keluarganya.

Pelbagai projek dijalankan bagi mengutip dana untuk aktiviti berkaitan termasuk dana bagi premis PCAM. Dua antara projek utama kutipan premis berkenaan ialah Half Marathon (Run for Love) dan Makan Malam Amal Tahunan.

Jelas Jackie, peralatan perubatan di PCAM akan dipinjamkan kepada pesakit yang memerlukan dan sumbangan kewangan yang diterima akan disalurkan kembali kepada mereka yang memerlukan.

“Sumbangan yang kami terima akan digunakan bagi membantu menyediakan bekalan perubatan atau peralatan yang berkaitan untuk dipinjamkan kepada pesakit seperti katil, tilam angin, mesin ‘oxygen concentrator’, kerusi roda serta keperluan lain,” ujarnya.

PCAM dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat iaitu dari jam 8 pagi hingga 5 petang, manakala pada setiap Selasa dibuka dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari untuk aktiviti sosial yang juga dibuka kepada orang awam.

PCAM mempunyai 65 pesakit yang mendapatkan perkhidmatan terbabit dan ada antaranya turut mendapat khidmat lawatan rumah ke rumah oleh jururawat dan sukarelawan bagi memberi tumpuan kepada rawatan bagi mengawal kesakitan dan simptom.

Sehubungan itu, masyarakat setempat juga dialu-alukan untuk terus menghulurkan bantuan atau sumbangan serta menjadi sukarelawan di PCAM.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan atau mengetahui lanjut berhubung PCAM boleh hadir terus di premis terbabit pada setiap Selasa atau menghubungi pihak PCAM di talian 012- 845 6480, Richard Wong (013-830 3827) atau Vivian Sheila (012-877 1027).

PCAM turut boleh dihubungi melalui e-mel [email protected] atau layari laman sesawang www.palliativecaremiri.org.

 Sebahagian daripada peralatan yang dipinjamkan kepada pesakit yang memerlukan.

SOKONGAN: Sebahagian daripada peralatan yang dipinjamkan kepada pesakit yang memerlukan.

 Sebahagian daripada peralatan yang dipinjamkan kepada pesakit yang memerlukan.

SOKONGAN: Sebahagian daripada peralatan yang dipinjamkan kepada pesakit yang memerlukan.

Advertisement