Anda di sini

Malaysia catat masalah obesiti tertinggi di Asia

Advertisement

KOTA KINABALU: Malaysia adalah negara tertinggi yang mencatatkan masalah obesiti di Asia iaitu lebih daripada 45.3 peratus.

Melalui penyelidikan yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan British, ia adalah disebabkan oleh diet yang kurang dan gaya hidup berorientasikan pejabat yang mana seseorang tidak aktif dan kurang bersenam.

Menurut Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 pula menyatakan, 17.5 peratus orang dewasa berumur 18 tahun ke atas dalam negara menghidap kencing manis.

Daripada itu, Malaysia berada di tempat keempat tertinggi penghidap diabetes di Asia.

Komplikasi berkaitan diabetes, termasuk penyakit kardiovaskular, penyakit buah pinggang, neuropati dan buta adalah penyebab utama peningkatan kematian dalam kalangan penghidap diabetes, serta menyebabkan beban ekonomi semakin berat pada sistem penjagaan kesihatan negara.

Justeru, daripada masalah itu, Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Sabah menganjurkan Hari Diabetes Sedunia peringkat KPJ Sabah bagi meningkatkan kesedaran, mendidik orang ramai mengenai kepentingan pemeriksaan untuk memastikan diagnosis awal jenis dua diabetes serta rawatan mengurangkan risiko komplikasi yang serius.

Daripada itu, KPJ Sabah menjemput dua orang penceramah Pakar Perubatan dan lntensivist Dr David Wong, serta Pakar Oftalmologi & Pembedahan Lasik Dr Mona Ngui untuk menerangkan berkenaan penyakit berkenaan.

Menurut David, populasi diabetes Malaysia berkembang pesat setiap tahun.

“Justeru itu, adalah penting bagi kita untuk belajar dan berfikir secara bijak menentang diabetes mellitus terutamanya semasa peringkat prediabetes boleh balik,” katanya.

Sementara itu, bagi komplikasi mata akibat diabetes, Mona berkata semua bentuk masalah mata diabetes mempunyai potensi kehilangan daya penglihatan yang teruk dan buta.

“Mengawal penyakit kencing manis dengan mengambil ubat yang ditetapkan, kekal aktif secara fizikal dan mengekalkan diet yang seimbang boleh mencegah atau melambatkan kehilangan penglihatan,” jelasnya.

Bagi Pengerusi ceramah kesihatan, Dr Chin Kel Vin yang juga Perunding Pakar Mata dan Pembedahan Vitreo-Retina turut mengulas bahawa ramai orang tanpa diabetes mendapat katarak.

“Namun, mereka yang menghidap diabetes adalah 60 peratus lebih cenderung untuk mendapat katarak.

“Dengan pemeriksaan katarak yang ditawarkan secara percuma untuk acara ini, ia dapat membantu untuk mengesan keadaan,” katanya.

Pada program itu, selain ceramah kesihatan, pameran dan cabutan bertuah, pelbagai aktiviti dijalankan seperti berjumpa dengan pakar diet, ujian penglihatan dan tekanan mata, pemeriksaan katarak, pemeriksaan asas kesihatan secara percuma juga diadakan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Sabah Nor Azlina Jemain, Pengurus Besar Kanan KPJ Healthcare Berhad Mah Lai Heng dan Pengurus Besar KPJ Damai Wendy Voo Lee Lin.

Advertisement