Anda di sini

KKM guna NBOS laksana program ‘Menghubung Menyatu’: KSU

Advertisement

PAITAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam melaksanakan program ‘Menghubung Menyatu’.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata menerusi NBOS, agensi di bawah kementerian berkolaborasi dan bekerjasama dengan pihak swasta terutama syarikat Telco.

“Masyarakat di kawasan pedalaman dapat diperkasakan dengan akses kepada maklumat asas, penyampaian perkhidmatan dan latihan kemahiran serta peluang penjanaan pendapatan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran program itu di Kampung Pantai Poring yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee di sini semalam.

Menurutnya dua elemen penting diterapkan di bawah program itu iaitu mendigitalkan dan merakyatkan penyampaian perkhidmatan komunikasi yang mana ia penting bagi mewujudkan masyarakat bermaklumat dan terhubung serta meningkatkan taraf hidup penduduk.

Beliau berkata di bawah pendekatan mendigitalkan, kerajaan menerusi kementerian itu akan membangunkan infrastruktur seperti menara telekomunikasi, capaian Internet yang lebih tinggi dan penyiaran digital yang memanfaatkan rakyat.

Katanya komponen merakyatkan pula melibatkan aspek komunikasi bersemuka dengan penduduk di kawasan pedalaman.

Sementara itu, Kiandee yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata penganjuran program ‘Menghubung Menyatu’ itu menjadikan penduduk luar bandar lebih bermaklumat.

Beliau berkata ia seiring dengan hasrat kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 95 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai akses kepada Internet menjelang 2020.

“Saya yakin matlamat program ini untuk memperkasakan masyarakat setempat melalui konsep pembangunan inklusif dapat dicapai sepenuhnya,” katanya ketika merasmikan program itu.

Beliau berkata pemilihan Kampung Pantai Poring sebagai lokasi pertama program itu amat sesuai kerana kawasan itu mempunyai akses yang terhad kepada Internet, televisyen dan radio.

Beliau turut yakin penduduk di kampung itu akan dapat menikmati perkhidmatan dalam talian yang membolehkan mereka mendapat maklumat dengan cepat, menjana pendapatan, menjalankan perniagaan dalam talian dan meningkatkan jalinan serta jaringan kerja. — Bernama

Advertisement