Anda di sini

Jangan terikut-ikut budaya demonstrasi jalanan: Salleh

Advertisement
 Salleh memalu gong sebagai simbolik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Momogun Rungus Malaysia di Dewan Masyarakat Motunggong, semalam. — Gambar Bernama

PERASMIAN: Salleh memalu gong sebagai simbolik perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Momogun Rungus Malaysia di Dewan Masyarakat Motunggong, semalam. — Gambar Bernama

KUDAT: Penduduk Sabah diminta tidak terikut-ikut dengan budaya demonstrasi jalanan yang tidak membawa manfaat, sebaliknya menyusahkan banyak pihak terutamanya golongan peniaga, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

“Tidak perlu kita terikut-ikut demonstrasi jalanan kerana kita mempunyai saluran yang terbaik untuk menyuarakan apa juga bantahan atau masalah rakyat melalui proses demokrasi iaitu pilihan raya akan datang,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Momogun Rungus Malaysia (PMRM), di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau mengajak penduduk Sabah yang berbilang bangsa supaya terus bersatu padu bagi memastikan negeri ini terus berada dalam keadaan aman damai, sekali gus mewujudkan suasana kondusif bagi memajukan lagi negeri ini.

Mengenai majlis itu, Salleh berkata PMRM yang ditubuhkan sejak dua tahun lepas bukan sahaja dapat memelihara kesenian dan kebudayaan warisan masyarakat suku kaum Rungus, tetapi menjadi mercu tanda penyatuan suku kaum berkenaan.

“Usaha itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum melalui pertubuhan atau persatuan berasaskan etnik.

“Oleh itu kerajaan pastinya akan terus memberi sokongan serta kerjasama dalam semua aspek untuk membantu sebarang keperluan bagi memastikan segala perancangan PMRM dapat dilaksanakan demi faedah kepada masyarakat suku kaum Rungus,” katanya.

Salleh menyokong penuh penubuhan Pusat Kebudayaan Rungus yang akan dibina pada tahun depan di Matunggung dekat sini dengan peruntukan sebanyak RM1 juta oleh kerajaan persekutuan.

“Bagi melengkapkan lagi kemudahan di pusat kebudayaan itu kelak, saya akan membantu mendapatkan dana RM500,000 untuk membuat pusat kraftangan Rungus, serta RM200,000 untuk membuat pagar pusat kebudayaan itu.

“Melalui kementerian, saya juga bersetuju untuk mewujudkan satu pusat Teknologi Maklumat di Pusat Kebudayaan Rungus itu, bagi memasti anak-anak (Rungus) turut menikmati kemudahan yang diberi oleh kerajaan, khususnya dalam era teknologi pada masa ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden PMRM Datuk Wetrom Bahanda berkata pihaknya sangat berterima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan dana untuk membina Pusat Kebudayaan Rungus.

“Kita juga berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi peruntukan tanah seluas 2.7 ekar untuk membina pusat kebudayaan berkenaan yang bakal menjadi pemangkin memajukan serta memartabatkan lagi suku kaum Rungus,” katanya. — Bernama

Advertisement