Anda di sini

Sabah kekalkan bajet lebihan pada tahun depan

Advertisement

KOTA KINABALU: Biarpun berdepan keadaan ekonomi global tidak menentu, Kerajaan Negeri Sabah masih mengekalkan bajet lebihan tahun depan untuk tempoh dua tahun berturut-turut.

Bertemakan `Rakyat Dijiwai, Kemakmuran Dinikmati’, Bajet 2017 menyaksikan sejumlah RM3,784.73 juta perbelanjaan disediakan berbanding kutipan hasil dianggarkan berjumlah RM3.82 bilion. Ia memperlihatkan bajet lebihan sejumlah RM32.83 juta.

Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, anggaran kutipan hasil itu memperlihatkan peningkatan kutipan hasil sebanyak 8.44 peratus berbanding hasil pada tahun ini yang berjumlah RM3.52 bilion.

Melalui anggaran kutipan hasil itu, sebanyak 29.5 peratus atau RM1.13 bilion adalah hasil cukai, RM2. 26 bilion atau 59.3 peratus bagi hasil bukan cukai serta RM426.2 juta atau 11.2 peratus pula adalah Terimaan Bukan Hasil.

Menurutnya, biarpun royalti petroleum kekal menjadi penyumbang utama hasil negeri, namun kejatuhan harga pasaran petroleum dunia menyebabkan kutipan hasil royalti menurun kepada RM787.8 juta berbanding sasaran asal sejumlah RM900 juta.

Untuk tahun hadapan, kutipan hasil royalti petroleum dianggarkan RM985 juta.

Dalam pada itu, Musa berkata kerajaan negeri akan mempergiat lagi pembangunan sektor pertanian dengan menambah sebuah lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) pada tahun depan.

TKPM yang dikenali sebagai TKPM Stesen Pertanian Sedul, Ranau itu akan dibina di kawasan seluas 40 hektar bagi pembangunan tanaman Durian Musang King.

Pada April 2017, dua TKPM dijangka siap untuk beroperasi iaitu masing-masing TKPM Pusat Latihan Bersepadu (IATC) Putatan dan TKPM Masilou Kundasang.

Kerajaan juga sedang mengenal pasti lokasi TKPM baru untuk dibangunkan di bahagian Pedalaman iaitu di Sook, Keningau.

Beliau berkata bagi mempergiat pembangunan sektor pertanian yang menjadi penjana utama ekonomi negeri, kerajaan negeri peruntukkan sejumlah RM466.88 juta.

Dalam pada itu, Musa berkata pelaksanaan Dasar dan Pelan Induk Alam Sekitar yang masih dalam proses penggubalan memperlihat komitmen kerajaan negeri melindungi dan memelihara hidupan liar agar tidak terancam.

Katanya, langkah berkenaan sebagai inisiatif kerajaan dalam menjamin pembangunan mampan.

Langkah itu menunjukkan kerajaan mengambil kira aspek perlindungan alam sekitar dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pembangunan.

Mengenai peruntukan untuk sektor pelancongan, Musa berkata sebanyak RM230.99 juta diperuntukkan untuk membangunkan industri pelancongan di Sabah.

Advertisement