Anda di sini

Kerajaan sedia pertimbang Klinik 1M’sia di perumahan

Advertisement
 Hajiji memeriksa tekanan darah beliau selepas merasmikan Klinik 1Malaysia di Taman Telipok Ria, diperhatikan oleh Dr Christina (kiri). Turut kelihatan ialah Dr Koay (berdiri, kanan) dan Dr Mohan (berdiri, tengah).

DIPERTIMBANG: Hajiji memeriksa tekanan darah beliau selepas merasmikan Klinik 1Malaysia di Taman Telipok Ria, diperhatikan oleh Dr Christina (kiri). Turut kelihatan ialah Dr Koay (berdiri, kanan) dan Dr Mohan (berdiri, tengah).

Terpulang kepada keperluan Jabatan Kesihatan Negeri

TUARAN: Pihak Kemen-terian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah tidak keberatan untuk menyediakan ruang di taman perumahan kerajaan seperti PPR (Program Perumahan Rakyat) di merata negeri untuk dijadikan Klinik 1Malaysia jika ada permintaan.

Menterinya, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, contoh projek PPR yang boleh dijadikan Klinik 1Malaysia ialah PPR di Penampang dan Putatan.

“Walau bagaimanapun, ini terpulang kepada keperluan Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya semasa merasmikan Klinik 1Malaysia di PPR Taman Telipok Ria dekat sini pada Jumaat.

Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata demikian sebagai mengulas ucapan Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi.

Dr Christina dalam ucapan alu-aluannya telah melahirkan harapan agar kerajaan menyediakan lebih banyak ruang untuk dijadikan Klinik 1Malaysia terutamanya di tempat yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti kawasan-kawasan perumahan termasuk PPR.

Hajiji menekankan bahawa idea penubuhan Klinik 1Malaysia dicetuskan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2010. Konsep Klinik 1Malaysia diadaptasi berdasarkan Konsep Gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Sehingga tahun 2016, jumlah Klinik 1Malaysia yang telah beroperasi sepenuhnya di negeri Sabah ialah 38 buah, termasuk Klinik 1Malaysia Taman Telipok Ria ini,” tambahnya,

Dengan wujudnya Klinik 1Malaysia Taman Telipok Ria, masyarakat berhampiran boleh mendapatkan rawatan asas atau rawatan ringan daripada jam 9 pagi hingga 9 malam setiap hari termasuk cuti umum.

“Setiap Klinik 1Malaysia ini dikendalikan oleh seorang Penolong Pegawai Perubatan, seorang Jururawat Terlatih, dan seorang Pembantu Perawatan kesihatan,” katanya.

“Bagi kes-kes yang berat atau di luar bidang kemahiran Penolong Pegawai Perubatan, kes tersebut akan dirujuk ke Hospital Tuaran untuk rawatan susulan,” tambahnya.

Di samping itu, Klinik 1Malaysia Taman Telipok Ria juga menyediakan perkhidmatan penjagaan ibu dan anak yang beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 5 petang dari hari Isnin hingga Jumaat. Klinik Kesihatan Ibu dan Anak ini dikendalikan oleh seorang Jururawat Terlatih dan tiga orang Jururawat Masyarakat.

Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Kesihatan Dr Ismail Ali, Pegawai Daerah Tuaran AM Ibnu AK Baba serta Pegawai Kesihatan Kawasan Tuaran Dr Koay Teng Khoon.

Turut hadir ialah Pengarah Hospital Tuaran, Dr G. Mohan dan Setiausaha Politik Hajiji, Abdul Kassim Razali.

Advertisement