Anda di sini

DBKK kerah pasukan penguat kuasa periksa papan tanda tanpa kebenaran

Advertisement

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengerahkan pasukan penguatkuasanya memeriksa papan tanda dan sepanduk yang dipasang ejen hartanah tidak berdaftar.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai berkata papan tanda dan sepanduk haram itu boleh merosakkan kemudahan awam, menghalang papan tanda dan mencemar alam sekitar, di samping menyekat pendapatan ejen hartanah berdaftar.

“Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) menyuarakan kebimbangannya tentang perbuatan tidak bertanggungjaab individu berkenaan.

“Kami akan berusaha untuk bekerjasama dengan MIEA Sabah bagi meningkatkan tahap profesionalisme ejen hartanah dan mewujudkan pasaran yang selamat serta bernilai tinggi bagi pelabur dalam bidang hartanah,” katanya pada majlis makan malam tahunan MIEA Sabah di sini malam kelmarin.

Yeo berkata selain DBKK, pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga boleh membantu mengesan nombor telefon yang terdapat pada papan tanda dan sepanduk haram serta menggantung akaun telekomunikasi pihak terlibat.

Menurut pengerusi MIEA Sabah sebelum ini, Stephen Wong, ejen hartanah tidak berdaftar yang mempromosikan produk pemaju hartanah boleh didakwa mengikut Akta Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah 1981.

Katanya, akta itu memperuntukkan denda sehingga RM300,000 atau hukuman penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, presiden MIEA Erick Kho berkata MIEA memberi sokongan kepada MIEA cawangan Sabah dengan membeli sebuah pejabat di sini baru-baru ini yang boleh digunakan untuk memudahkan urusan melatih pengamal dan bakal ejen hartanah.

Katanya, MIEA juga mengadakan dialog dengan polis bagi membasmi broker haram dan memainkan peranan dalam Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah (BOVAEA) untuk menangani perkara yang menjejaskan pengamal. — Bernama

Advertisement