Anda di sini

Malaysia, Jepun meterai MoC

Advertisement

Gandakan usaha galak perdagangan antara dua negara

 Najib bersama Abe menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama antara Japan External Trade Organisation (JETRO) dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Pejabat Perdana Menteri Jepun di Tokyo kelmarin. MATRADE diwakili Dzulkifli (kiri) manakala JETRO diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Hiroyuki Ishige (kanan). — Gambar Bernama

TERMETERAI: Najib bersama Abe menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama antara Japan External Trade Organisation (JETRO) dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Pejabat Perdana Menteri Jepun di Tokyo kelmarin. MATRADE diwakili Dzulkifli (kiri) manakala JETRO diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Hiroyuki Ishige (kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) semalam memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) di Tokyo, untuk menggandakan usaha menggalakkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan MATRADE, MoC itu menandakan komitmen kukuh untuk mempertingkatkan kerjasama dalam bidang manfaat bersama, seperti permudahan aktiviti promosi perdagangan, pertukaran maklumat, kerjasama dalam program dan projek khusus untuk mempromosikan sektor halal.

Penandatanganan MoC itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya, Shinzo Abe.

Ia merupakan sebahagian usaha sempena misi perdagangan dan pelaburan di Tokyo, diketuai Najib.

Semasa majlis itu, Najib mencadangkan Malaysia menjadi penasihat halal Jepun sebagai persediaan untuk Olimpik Tokyo 2020, khususnya dalam memberi nasihat dan pematuhan syariah untuk produk serta perkhidmatan yang akan disediakan kepada pengguna Islam semasa temasya sukan terbesar dunia itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud berkata Jepun melihat jenama Malaysia adalah berkualiti tinggi, justeru itu, Malaysia memperoleh kesetiaan pengguna Jepun.

“Kita melihat permintaan kukuh untuk produk Malaysia disediakan semasa Olimpik Tokyo, khususnya dalam segmen halal,” katanya.

Tahun ini, sebanyak 12 program promosi perdagangan anjuran MATRADE dengan kerjasama Jetro, Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun dan Pusat Dagangan ASEAN-Jepun, termasuk pameran perdagangan, misi pemasaran dan program penyumberan antarabangsa.

Pada 2015, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia selepas China, Singapura dan Amerika Syarikat, dengan nilai dagangan dicatatkan sebanyak RM127.40 bilion.

Eksport ke Jepun pada 2015 bernilai RM73.81 bilion manakala import pada RM53.59 bilion.

Lima produk utama Malaysia yang dieksport ke Jepun tahun lepas ialah produk elektrik dan elektronik, produk kimia dan berasaskan kimia, petroleum, minyak sawit dan produk agro berasaskan sawit serta gas asli cecair. — Bernama

Advertisement