Anda di sini

Jumlah dagangan Malaysia cecah RM1.07 trilion sembilan bulan pertama 2016

Advertisement

MELAKA: Jumlah perdagangan Malaysia meningkat sebanyak 0.6 peratus kepada RM1.07 trilion dalam sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, ini menunjukkan bahawa ekonomi negara sedang menuju ke arah pertumbuhan positif walaupun di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.

Tahun lepas, di sebalik cabaran ekonomi dunia, jumlah perdagangan Malaysia telah mencecah RM1.46 trilion, di mana 15.8 peratus atau RM230.89 bilion disumbangkan oleh perdagangan dengan China.

“China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia untuk tujuh tahun berturut-turut, manakala Malaysia menjadi rakan kongsi perdagangan kesembilan terbesar China serta rakan kongsi dagangan yang terbesar antara negara-negara ASEAN,” katanya pada Kemuncak Ekonomi Dunia China ke-8 (WCES) 2016 di Bandar Hilir di sini kelmarin.

Ong berkata bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, sejumlah 20 projek yang melibatkan penyertaan China dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.44 bilion, telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Beliau memetik Bandar Malaysia, Forest City, Melaka Gateway, Xiamen University Malaysia, Jambatan Pulau Pinang Kedua dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China sebagai projek ikonik yang membabitkan China.

“China menduduki tangga teratas sebagai pelabur kedua terbesar di Malaysia sekarang ini. Para pelabur China terus menerajui jalan bagi membuktikan keyakinan bahawa Malaysia merupakan tempat terbaik bagi pelaburan jangka sederhana dan panjang,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia boleh mendapatkan akses kepada pasaran-pasaran serantau yang lebih besar melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA).

“Hari ini, semua perniagaan adalah bersifat global. Untuk kekal kompetitif, kita perlu sentiasa mencari jalan untuk bergerak antara rangkaian serantau dan global.

“Malaysia secara aktif terlibat dalam usaha liberalisasi pasaran melalui FTA,” katanya.

Setakat ini, Malaysia telah menandatangani 14 FTA, tujuh daripadanya melibatkan perjanjian pelbagai hala dan bakinya merupakan perjanjian dua hala dengan Jepun, Australia, New Zealand, Turkey, Pakistan, Chile, dan India.

Lebih daripada 300 delegasi dari beberapa negara, termasuk China, Hong Kong, Kuwait dan Malaysia menghadiri WCES selama dua hari yang bermula hari ini. — Bernma

Advertisement