Anda di sini

Tiada kesan penting akibat kegagalan TPP

Advertisement

Terdapat pelbagai cara lain boleh digunakan untuk merangsang perdagangan, ekonomi

KUALA LUMPUR: Tidak ada sebarang kesan penting jika perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) gagal dilaksana kerana terdapat pelbagai cara lain untuk merangsang perdagangan dan ekonomi.

Pengerusi Eksekutif Axcelasia Inc, Dr Veerinderjeet Singh berkata, syarikat Malaysia tidak terjejas walaupun TPP boleh meningkatkan pertumbuhan kerana pakatan perdagangan itu mampu menawarkan akses pasaran yang lebih besar.

“Bagaimanapun saya berpendapat, terdapat pelbagai cara untuk mendapat akses ke pasaran terbabit jika TPP tidak dilaksana, tetapi ia akan menjadi lebih mahal sedikit,” katanya pada perbincangan panel pada hari kedua dan terakhir Persidangan Institut Akauntan Malaysia di sini, semalam.

Veerinderjeet menjawab soalan mengenai masa depan TPP kerana presiden AS yang dipilih, Donald Trump tidak bersetuju dengan perjanjian tersebut.

Daripada 12 anggota TPP, Malaysia tidak mempunyai sebarang perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat, Kanada, Peru dan Mexico.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga berkata, Malaysia berfikiran terbuka mengenai pakatan perdagangan berkenaan dan jika AS menarik diri daripada TPP, ia akan bermakna perjanjian itu tidak boleh dilaksanakan.

Bagaimanapun, Veerinderjeet kekal yakin perdagangan Malaysia akan terus berkembang.

Anggota panel lain, Paul Drum, Ketua Dasar Kedudukan Luar dari CPA Autralia, bagaimanapun berpendapat, TPP akan datang kembali, tetapi dalam perspektif berbeza.

“Trump akan menjadi presiden perdagangan kerana beliau adalah seorang ahli perniagaan. Oleh itu saya berpendapat TPP akan kembali dan orang ramai akan menyukainya,” katanya.

CPA Australia ialah sebuah badan perakaunan dengan keanggotaan global lebih daripada 155,000 orang yang bekerja di 118 negara.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif BDO Tax Service Sdn Bhd, Bernice Tan juga sependapat dengan Drum dengan berkata, tiada sebarang kesan daripada kegagalan TPP.

Bagaimanapun tidak seperti Drum, Tan lebih positif mengenai pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN atau AEC dan bukannya TPP.

AEC dikuatkuasa pada 31 Disember 2015. Ia bertujuan menawarkan pasaran serta pangkalan pengeluaran tunggal kepada negara anggota ASEAN, yang antara lain melibatkan aliran bebas barangan, pelaburan, modal serta buruh mahir. — Bernama

Advertisement