Anda di sini

Sumbangan PKS kepada KDNK dijangka berkembang 5-5.5%

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka berkembang sebanyak antara lima dan 5.5 peratus tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, ini akan dipengaruhi oleh KDNK negara yang diunjur tumbuh antara empat dan 4.5 peratus pada 2016.

Beliau berkata tekanan negatif ke atas pertumbuhan PKS dijangka diimbangi oleh kekukuhan permintaan domestik dan pasaran pekerjaan yang stabil.

“Kerajaan akan terus menggalakkan penggunaan dan aktiviti pelancongan yang berkait rapat dengan prestasi PKS,” katanya pada Persidangan PKS Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), di sini, semalam.

Bagi tahun depan, Ong berkata, PKS boleh menjangkakan ekosistem lebih baik untuk menjalankan perniagaan susulan penguatkuasaan Akta PKS dan adanya platform pembiayaan alternatif seperti dana masyarakat ekuiti.

Faktor-faktor positif lain ialah platform penyediaan pinjaman peer-to-peer (P2P), pengurangan cukai korporat dan semakan semula Akta Kebankrapan, katanya.

“Dengan semua insentif-insentif utama ini yang tersedia bagi 2017, ekosistem keusahawanan dipertingkatkan dan PKS boleh terus menjalankan perniagaan seperti biasa,” katanya.

Ong berkata sebanyak 152 program pembangunan PKS dilaksanakan oleh 18 kementerian dan lebih 60 agensi dengan peruntukan RM7.34 bilion.

SME Corp Malaysia, katanya, menerima 52,336 permohonan bagi bantuan kewangan termasuk geran padanan dan pinjaman mudah di bawah pelbagai programnya sehingga 30 Sept, 2016.

Beliau berkata sebanyak 40,446 permohonan bernilai RM5.52 bilion telah diluluskan.

Ong menggesa PKS menyertai dan memanfaatkan pelbagai program, inisiatif dan insentif yang disediakan oleh kementerian tersebut dan agensinya serta agensi kerajaan lain dan perkongsian awam-swasta bagi membantu mereka meningkatkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“PKS harus proaktif mempersiapkan diri mereka untuk meneroka ke pasaran antarabangsa dengan merebut pelbagai peluang tersedia yang ditawarkan oleh kerajaan dan sektor swasta,” katanya.

Persidangan sehari itu yang dianjurkan oleh SME Corp dan FMM, membincangkan dan menganalisis Bajet 2017 bagi PKS, kesan dan peluang perjanjian perdagangan bagi PKS dalam perdagangan serantau.

Persidangan itu yang bertemakan ‘Beyond Economic Growth: SMEs Meeting Global Challenges’, (Melangkaui Pertumbuhan Ekonomi: PKS Menyahut Cabaran Global) berfungsi sebagai platform bagi PKS untuk memahami dengan lebih baik lagi situasi semasa ekonomi Malaysia dan industri PKS. — Bernama

Advertisement