Anda di sini

Ketua Cawangan UMNO dan dua cucunya rentung

Advertisement

 Anggota Bomba memeriksa mayat tiga mangsa yang rentung dalam kebakaran tersebut. — Gambar Bernama

RENTUNG: Anggota Bomba memeriksa mayat tiga mangsa yang rentung dalam kebakaran tersebut. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Ketua Cawangan UMNO Kampung Baru di sini bersama dua cucunya rentung dalam kebakaran sebuah rumah di kampung itu, malam kelmarin.

Mayat Osman Lawidu, 60, dikenali sebagai Pak Osman, dua cucu perempuannya Nurul Natsha, 11, dan Nurul Musdalifah, 10, ditemukan bersebelahan satu sama lain.

Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Sandakan Anddre Andrew berkata mayat  ketiga-tiga mangsa ditemukan dalam sebuah bilik dan dipercayai mati lemas akibat terhidu asap tebal.

Kesemua mayat dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat, katanya di sini, semalam.

Katanya, ketika kejadian hanya tiga mangsa berada di rumah tersebut, isteri Osman, anak perempuan mereka iaitu ibu kepada dua cucunya tidak berada di rumah dan berada di HDOK Sandakan menjaga seorang lagi cucu mereka yang sedang menerima rawatan.

Menurutnya panggilan kecemasan kebakaran itu diterima pada jam 9.30 malam dan operasi pemadaman api tamat pada 1.34 pagi semalam.

Operasi itu membabitkan 10 pegawai dan anggota bomba diketuai Anddre menggunakan dua jentera bomba dan sebuah kenderaan utiliti.

Anddre berkata punca kebakaran masih dalam siasatan. — Bernama

Advertisement