Anda di sini

60 rumah papan musnah dalam kebakaran di Pulau Bum Bum

Advertisement
 Sebanyak 60 buah rumah papan di Kampung Balembang musnah akibat kebakaran semalam. — Gambar Bernama

musnah: Sebanyak 60 buah rumah papan di Kampung Balembang musnah akibat kebakaran semalam. — Gambar Bernama

SEMPORNA: Empat hari selepas kebakaran yang memusnahkan 13 rumah di Kampung Ampalang di Pulau Bum Bum dekat sini, satu lagi kejadian kebakaran memusnahkan 60 rumah papan di Kampung Balembang di pulau sama berlaku awal pagi semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Hizam Borhan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.10 pagi dan tiba ke tempat kejadian kira-kira jam 4.52 pagi.

“Seramai lapan anggota yang bergegas ke tempat kejadian mengalami kesukaran untuk tiba di lokasi tersebut. Namun dengan bantuan empat polis marin, operasi berjaya dilaksanakan dan tamat kira-kira jam 7.16 pagi tadi (semalam),” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, operasi pemadaman itu menggunakan satu aliran, dua pancutan serta menerusi punca air terbuka air laut.

Katanya, setakat ini jumlah mangsa terlibat masih belum diketahui dan punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang disiasat. — Bernama

Advertisement