Anda di sini

Setiap PDK digalak terlibat dalam kegiatan ekonomi

Advertisement

 Saridah menyampaikan cenderahati kepada Kamarlin (dua kanan).

TERIMA KASIH: Saridah menyampaikan cenderahati kepada Kamarlin (dua kanan).

BEAUFORT: Setiap Pusat Dalam Komuniti (PDK) di kawasan ini digalakkan terlibat dalam sebarang kegiatan ekonomi kerana ia dilihat bukan sahaja memberi manfaat terhadap pusat berkenaan tetapi juga kepada pelatih itu sendiri.

Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi berkata, ia bukan sahaja mampu menjana sumber pendapatan tambahan malah ia secara tidak langsung membolehkan para pelatih memajukan diri serta hidup berdikari.

“Contoh dapat diambil daripada PDK Sungai Besar di Selangor yang telah melaksanakan projek tanaman cendawan hingga dapat memberi pulangan lumayan kepada pusat dan pelatihnya.

“Bagaimanapun, bidang diceburi haruslah selaras dengan kemampuan para pelatih yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) agar usaha ini dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung PDK Sinar Kasih Kampung Lupak di salah sebuah hotel di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi PDK Sinar Kasih Datin Saridah Abdullah dan seluruh ahli jawatankuasa tertinggi pusat berkenaan serta ibu bapa pelatih PDK Sinar Kasih.

Dalam pada itu, Kamarlin yang juga ADUN Lumadan berkata PDK Sinar Kasih juga telah melaksanakan insiatif sama melalui pembuatan produk kuih-muih dihasilkan sendiri oleh pelatihnya.

Bukan itu saja, PDK berkenaan juga akan mewujudkan pusat urutan refleksologi serta kedai jahitan dikendalikan pelatihnya yang mempunyai kemahiran dalam bidang itu.

“Saya difahamkan, PDK Sinar Kasih turut bercadang mewujudkan gerai jualan di pusat ini bagi memasarkan produk makanan keluaran mereka untuk pasaran dalam dan luar daerah ini.

“Usaha ini antara salah satu matlamat pusat ini yang bukan saja memperkasa ekonomi golongan OKU tetapi juga memberi mereka kemahiran supaya terus berjaya dalam kehidupan sebagaimana insan lain,” katanya.

Advertisement