Anda di sini

Lantik kalangan guru sebagai pembantu pegawai pelindung

Advertisement

BEAUFORT: Timbalan Menteri Pembanguan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun bercadang untuk melantik seorang pembantu pegawai pelindung bagi membantu pegawai pelindung yang ditempatkan di setiap daerah daripada kalangan guru sekolah.

Menurutnya inisiatif itu perlu memandangkan guru adalah individu yang rapat dengan kanak-kanak selain ibu bapa.

Beliau berkata, sekiranya terdapat kes berkaitan kanak-kanak, guru berkenaan dapat bertindak dengan pantas bagi membantu golongan itu.

Kementeriannya ketika ini sedang dalam proses mengenal pasti golongan masyarakat yang layak dilantik memegang jawatan itu selaras dengan Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016.

“Jawatan pembantu ini akan meringankan tanggungjawab setiap pegawai pelindung yang juga pegawai kebajikan daerah khususnya dalam kes membabitkan keselamatan golongan kanak-kanak.

“Banyak cadangan diterima, namun saya cadangkan golongan guru sama ada guru besar ataupun guru kaunseling dilantik untuk jawatan ini kerana mereka antara individu yang sering bersama kanak-kanak ketika di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak di Sekolah-Sahabat BIJAK Peringkat Daerah Beaufort di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Beaufort, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM Negeri Sabah Dg Rogayah Ag Basar dan Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak.

Dalam pada itu, Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata siri kedua kempen yang sudah dilaksanakan di empat sekolah di Kota Kinabalu pada tahun lalu itu dapat memberi kesedaran kepada kanak-kanak tentang pelbagai bahaya.

Beliau turut menyifatkan program berkenaan sebagai langkah tepat memandangkan masyarakat banyak risiko membabitkan golongan itu di negara ini sama ada kemalangan, penderaan, pengabaian dan penculikan.

“JKM Sabah mencatatkan sebanyak 971 kes kanak-kanak dilaporkan di negeri ini dari Januari hingga Ogos tahun ini dan daripada jumlah itu, kes tertinggi adalah kesalahan jenayah membabitkan 543 kes.

“Pengabaian menjadi kes kedua tertinggi dengan 141 kes, manakala penderaan seksual mencatatkan sebanyak 122 kes, penderaan fizikal 42 kes, terdedah kepada bahaya moral dua kes dan perlindungan segera 63 kes.

“Sehubungan itu, kempen seumpama ini diharap mampu mewujudkan kesedaran bukan saja kepada kanak-kanak sekolah, tetapi juga kepada ibu bapa, penjaga dan guru-guru mereka,” katanya.

Advertisement