Anda di sini

Lebih 70 peratus pesakit kanser Sabah berjaya sempurnakan rawatan kemoterapi, radioterapi

Advertisement

KOTA KINABALU: Kira-kira lebih daripada 70 peratus pesakit kanser berjaya menyempurnakan rawatan kemoterapi dan radioterapi di pusat Pusat Nuklear dan Radioterapi Hospital Likas.

Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas Dr Tan Bee Hwai berkata, bukan sahaja pesakit berkenaan berjaya dirawat bahkan sebahagian daripada mereka berjaya hidup lebih daripada 10 tahun selepas disahkan menghidap kanser.

“Pada waktu sebelum merdeka iaitu tahun 50-an, kami sebagai pengamal perubatan di Sabah hanya mampu merawat dan memanjangkan kehidupan pesakit kanser kurang daripada 10 peratus.

“Namun pada hari ini lebih daripada 70 peratus penghidap kanser bukan sahaja berjaya memanjangkan jangka hayat mereka tetapi ada juga antara mereka yang sembuh sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Penghidap Kanser Kanak-Kanak di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas kelmarin.

Jelasnya, sejak tiga tahun pusat kanser di hospital itu beroperasi, mereka telah merawat kira-kira lebih 7,000 pesakit.

“Kanser bukan hukuman mati kerana rawatan yang disediakan di sini adalah bukan sahaja termasuk ubat-ubatan dan peralatan perubatan tetapi kami juga menerapkan nilai dan amalan yang konsisten dengan masyarakat penyayang,” katanya.

Pada majlis berkenaan, anugerah disampaikan kepada 23 individu yang berjaya melawan penyakit kanser pada usia yang muda.

Majlis dirasmikan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Sementara itu, bekas penghidap kanser leukemia Ilni Soritol, 23, yang menghidap penyakit itu sejak berumur lima tahun lagi rasa bersyukur dengan kekuatan dan kesungguhan diri, ibu bapa serta pengamal perubatan yang berusaha mengubah hidupnya.

Beliau yang kini melanjutkan pelajarannya pada peringkat diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak itu menceritakan suka-dukanya yang berbeza dengan kanak-kanak lain.

“Saya mula disahkan menghidap penyakit kanser pada tahun 1998, yang mana ia satu zaman kegemilangan kepada kanak-kanak normal.

“Tetapi saya, pada ketika itu hanya mampu berbaring dan apabila penyakit itu menyerang hanya mampu menangis, meraung dan menahan kesakitan.

“Namun, tanpa kenal putus asa daripada diri sendiri, keluarga dan warga hospital, saya mampu menjadi kuat dalam melawan penyakit ini,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau yang kini sembuh dari penyakit itu berazam untuk memberi penghormatan kepada mereka yang telah membantu beliau dengan cemerlang dalam menjalani kehidupannya.

Ilni menggesa semua pesakit kanser agar lebih kuat melawan penyakit.

Advertisement