Anda di sini

Polis dan JPJ keluarkan 13 saman dan tiga notis pelbagai kenderaan

Advertisement

KUDAT: Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan telah mengeluarkan sebanyak 16 keping saman dan notis pelbagai kesalahan daripada 69 pengguna-pengguna jalan raya yang diperiksa pada operasi kenderaan Perkhidmatan awam di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Superintenden Douglas Nyeging Taong memberitahu bahawa operasi yang dijalankan di KM 14 jalan Kudat- Kota Kinabalu melibatkan 15 anggota polis trafik dan JPJ bermula jam 2.30 hingga 4.30 petang.

Beliau berkata daripada operasi itu sebanyak 12 saman dikeluarkan oleh polis manakala JPJ mengeluarkan satu saman dan tiga notis.

“Kenderaan-kenderaan yang diperiksa adalah enam motosikal, kereta (25), pacuan empat roda (15), van (tujuh), MPV (lima), lori (lapan) dan bas mini (tiga),” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Douglas memberitahu bahawa polis di sini telah membuat pemeriksaan seramai 111 orang dalam 14 operasi bersepadu yang diadakan sejak 23 September sehingga 8 November lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 86 lelaki dewasa, 20 perempuan dewasa dan lima kanak-kanak telah diperiksa.

“Seramai 22 termasuk seorang wanita ditahan kerana kesalahan di bawah Akta Imigresen dan 11 lelaki dewasa lagi ditahan kerana kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya.

Advertisement