Anda di sini

Pantau pemerdagangan organ dalam talian

Advertisement
 Lee (kiri) dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau Alijus Sipil melepaskan 100 duta derma organ sempena pelancaran program ‘Roadshow Promosi Pendermaan Organ 2016’ peringkat negeri di Pekarangan Majlis Perbandaran Tawau semalam. — Gambar Bernama

PELANCARAN: Lee (kiri) dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau Alijus Sipil melepaskan 100 duta derma organ sempena pelancaran program ‘Roadshow Promosi Pendermaan Organ 2016’ peringkat negeri di Pekarangan Majlis Perbandaran Tawau semalam. — Gambar Bernama

SKMM perlu siasat dan ambil tindakan ke atas individu yang tidak bertanggungjawab, kata Lee

TAWAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta memantau kegiatan pemerdagangan organ manusia secara dalam talian di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Pendermaan Organ Kebangsaan Tan Sri Lee Lam Thye berkata pemerdagangan organ tidak digalakkan dan bercanggah dengan nilai etika perubatan serta dasar kerajaan.

“Ketika ini, banyak perkara dilakukan secara dalam talian dan sekiranya didapati ada aktiviti sedemikian, SKMM perlu siasat dan ambil tindakan ke atas individu yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Roadshow Promosi Pendermaan Organ 2016’ Peringkat Negeri Sabah yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi di sini, semalam.

Program kali ini turut dijalankan serentak di Kunaka dan Semporna, menyasarkan lebih 1,000 pengikrar derma organ direkodkan.

Lee berkata: “SKMM juga perlu mengkaji serta meneliti bagaimana untuk menangani perkara itu secara efektif. Orang ramai disaran membuat laporan atau aduan kepada pihak berkuasa agar kegiatan itu dapat ditangani segera”.

Lee berkata aktiviti pemerdagangan organ ini sekali gus membantutkan usaha kempen pengikrar organ atau promosi derma organ yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan.

“Kadar pendermaan organ di Malaysia amat rendah jika dibandingkan dengan keperluan. Bagi pendermaan setelah meninggal dunia, kadar pendermaan organ serta tisu di negara ini adalah sekitar 1.0 pendermaan persejuta penduduk, antara yang terendah di dunia,” katanya.

Menurutnya, sehingga 30 Okt tahun ini, seramai 366,548 rakyat Malaysia berikrar sebagai penderma organ sejak tahun 1997.

“…dilaporkan lebih 20,000 pesakit sedang menunggu untuk mendapatkan transplan atau pemindahan organ, termasuk mereka yang menghidapi kegagalan buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru,” katanya.

Sementara itu, Dr Christina berkata sebanyak 2,556 pengikrar derma organ direkodkan di Sabah pada tahun ini.

“Diharap program seperti ini dapat menimbulkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat Sabah untuk menderma organ sekali gus menjadi penyelamat ramai nyawa pesakit,” katanya. — Bernama

Advertisement