Anda di sini

Kota Marudu terus membangun meskipun perlahan: Maximus

Advertisement

KOTA MARUDU: Untuk setanding dengan daerah yang lain di negeri ini Kota Marudu tidak mahu ketinggalan untuk terus membangun walaupun secara perlahan-lahan.

Ada sesetengah pihak menafikan pembangunan daerah ini kononnya ia masih ketinggalan daripada banyak sudut, namun dapat dilihat secara jelas Kota Marudu memang membangun baik daripada sudut infrastuktur dan sebagainya.

Satu ketika dahulu Kota Marudu yang dahulunya dikenali sebagai Bandau memang mundur dalam kepelbagaian, namun sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) memegang tampuk pemerintahan daerah ini secara perlahan-lahan terus maju dan membangun malah berdaya saing dengan daerah lain di negeri ini.

Demikian antara lain ucapan Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Jhoniti Ongkili pada Majlis Festival Kota Marudu 2016, di Pentas Utama Majlis Daerah dekat sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu menambah, setiap daerah mempunyai agendanya tersendiri cara mana memajukan daerah tersebut untuk lebih dikenali di mata dunia.

Hakikatnya dapat dilihat apabila Kota Marudu mula mengadakan sambutan perayaan peringkat daerah seperti Pesta Kaamatan, Hari Raya Aidilfitri, Maulidul Rasul, Maal Hijrah, Tahun Baharu Cina, Krismas dan banyak lagi bertambah meriah bila mana jawatankuasa Induk merancang menganjurkan Pesta Jagung, kemudian ditukar kepada Pesta Kota Marudu dan sekarang ini Festival Kota Marudu.

Perubahan ini menunjukkan bahawa Kota Marudu memang wajar dibanggakan membangun dalam pelbagai sudut cuma kepada mereka yang tidak mahu menerima perubahan ini yang masih menyatakan Kota Marudu mundur, katanya.

Bulan November ini diadakan sambutan perayaan Festival Kota Marudu 2016 dengan mempelbagaikan aktiviti sukan laut dan sukan rakyat, gerai pameran dan jualan, pertandingan Idol Kota Marudu 2016, ratu etnik Kota Marudu 2016 dan pada 28 dan 29 November depan diadakan pertandingan sepak takraw terbuka Kota Marudu 2016.

Advertisement