Anda di sini

Festival Keusahawanan landasan terbaik usahawan promosi produk

Advertisement
 Festival keusahawanan berlangsung selama 10 hari iaitu sehingga 20 November ini di Tebingan Kuching.

FESTIVAL USAHAWAN: Festival keusahawanan berlangsung selama 10 hari iaitu sehingga 20 November ini di Tebingan Kuching.

Pendedahan kepada kira-kira 200 usahawan terokai peluang perniagaan

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Festival Keusahawanan diadakan sepanjang Main Bazaar di sini sempena Festival Tebingan Kuching 2016 merupakan landasan terbaik golongan usahawan mempromosikan produk mereka ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Menteri Muda Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais berkata pameran keusahawanan seperti itu sudah menjadi kemestian penganjuran acara-acara besar di negeri ini seperti Festival Tebingan Kuching atau lebih dikenali temasya Regata Sarawak.

“Bila kita mengadakan acara seperti ini dapat menganggarkan ratusan ribu pengunjung datang sepanjang festival itu.

“Justeru, sudah tentu merupakan peluang terbaik usahawan mempamerkan produk-produk tempatan dan pada masa sama kita mahu mempamerkan produk-produk antarabangsa ke pasaran lebih luas,” katanya ditemui selepas Perasmian Acara Lumba Bot Naga Antarabangsa di Tebingan Kuching disusuli Perasmian Dapur Asia di Old Court House di sini semalam.

Kedua-dua perasmian itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Mohd Naroden berkata, selain festival itu kerajaan menerusi Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal (UPUIH) Jabatan Ketua Menteri turut mengadakan pelbagai inisiatif membantu usahawan mempromosikan produk-produk mereka.

Antaranya aktiviti promosi di luar Sarawak seperti Johor, Brunei, Kuala Lumpur dan sebagainya sebagai salah satu cara mempromosikan dan membawa produk mereka ke pasaran lebih besar.

Dalam pada itu, festival keusahawanan itu turut melibatkan jualan makanan dan kraf tangan oleh kira-kira 200 usahawan tempatan dan luar Sarawak.

Festival keusahawanan itu mengetengahkan lima elemen iaitu tekstil (batik dan songket, tenunan pua), hasil rimba (anyaman bemban, buluh, rotan, produk kayu), seramik (pasu dan aksesori), aneka kraf (manik, siput) dan logam (parang).

Advertisement