Anda di sini

Isuzu D-Max buat penambahbaikan besar pada bahagian luar dan dalam

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud//

 Kenn (kiri) bersama kakitangan jualan KM Mobil menunjukkan tanda bagus untuk Isuzu Z-Prestige yang baharu dilancarkan semalam.

DIPERBAHARUI: Kenn (kiri) bersama kakitangan jualan KM Mobil menunjukkan tanda bagus untuk Isuzu Z-Prestige yang baharu dilancarkan semalam.

BINTULU: Isuzu D-Max menjalani proses pembaharuan dengan menyasarkan segmen gaya hidup dengan membuat penambahbaikan besar pada bahagian luar dan dalam badan kenderaan itu untuk penampilan yang lebih kontemporari.

Kenderaan pacuan empat roda itu turut menampilkan ciri-ciri dan aksesori untuk kemudahan pemanduan. Ditawarkan dengan model pikap tiga varian untuk kegunaan gaya hidup dan komersial.

Varian Isuzu D-Max Z-Prestige baharu adalah yang terbaik dalam kelasnya untuk segmen gaya hidup.

Dalam pada itu, kenderaan tersebut telah dilancarkan di Bilik Pameran KM Mobil Sdn Bhd (Bintulu) di Parkcity Commercial Centre oleh Pengurus cawangannya, Kenn Tan bersama kakitangan jualan syarikat itu semalam.

Pilihan lapan model ditawarkan dalam tiga varian yang berbeza iaitu Standard, Premium dan Z-Prestige. Premium dan Z-Prestige melalui pengubahsuaian besar yang pertama sejak D-Max diperkenalkan pada tahun 2013.

Varian yang diperbaharui ini melalui banyak penambahbaikan di bahagian luar dan dalamnya termasuk beberapa ciri baharu yang lainnya.

Pilihan enjin diesel powertrain VGS turbo intercooler 2.5 atau 3.0 liter yang dipadankan dengan transmisi automatik atau manual lima kelajuan tetap dikekalkan kerana terbukti dari segi kebolehpercayaan, prestasi dan penjimatan dalam penggunaan bahan apinya.

Harga atas jalan yang ditawarkan untuk kenderaan itu termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST), cukai jalan dan insurans adalah dari RM83,000 untuk D-Max 2.5L Standard dengan transmisi manual hingga RM128,000 untuk D-Max Z-Prestige dengan transmisi automatik.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsuoka dalam kenyataannya di sini berkata, barisan model D-Max yang diperbaharui akan membolehkan syarikat itu memenuhi keperluan lebih ramai pelanggan.

“D-Max telah pun menjadi pilihan mereka yang mahukan kenderaan untuk kegunaan kerja yang boleh diharap, tahan lasak dan ekonomikal.

“Terdapatnya potensi pasaran yang besar bagi trak pikap yang telah diubahsuai dan diberi kemasan oleh pengeluar seperti varian tetap Z-Prestige baharu yang menjadi kebanggaan Isuzu, begitu berbeza dari yang lain didatangkan dengan jaminan penuh,” tambahnya.

Z-Prestige didatangkan dengan pilihan tiga model dengan koordinasi warna ekslusif, dilengkapi aksesori dan ciri-ciri yang mesra pengguna jelas menggambarkan hasrat Isuzu untuk menyasarkan segmen gaya hidup.

Rekaan Z-Prestige adalah berunsurkan model-model edisi terhad sebelum ini yang telah mencatatkan kejayaan yang tersendiri dalam pasaran. Antara yang ditawarkan adalah unit Silky Pearl direka khusus untuk eksekutif yang sentiasa sibuk dengan penekanan kepada penampilan dan gaya mewah.

Mereka yang sukaka kelasakan dan cabaran, varian eksklusif Velvet Red Mica direka khusus untuk golongan ini.Pilihan varian Stallion Black pula bertemakan kehidupan bandar bawahan yang bersifat provokatif.

Ciri-ciri baharu dalam Z-Prestige ialah `Passive Entry and Start System (PESS), rim aloi 18 inci, lampu depan projektor bersama lampu pencahayaan siang LED, pemain cakera video digital (DVD) dengan skrin sesentuh 8 inci berserta sistem bunyi keliling 8 speaker, panel meter electroluminescent (e-LUMAX) rekaan baharu dengan Multi-Information Display (MID), Port Multimedia dan ruang untuk telefon pintar, tempat duduk kulit dan tempat letak tangan.

Semua varian termasuk yang mempunyai spesifikasi paling rendah didatangkan dengan kelengkapan keselamatan antaranya Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA) dan Bantuan Mendaki (HSA).

Jaminan bagi D-Max yang diperbaharui ini dilanjutkan dari tiga tahun atau 100,000 kilometer (km) kepada lima tahun atau 150,000km. Sebagai tanda penghargaan kepada pemilik mu-X sedia ada, barisan Isuzu mu-X termasuk edisi terhad terkini mu-X Type S telah melanjutkan jaminan kepada lima tahun tanpa had kilometer.

Keterangan lanjut mengenai Isuzu yang diperbaharui boleh diperolehi melalui laman sesawang www.isuzu.net.my/home.

Advertisement