Anda di sini

Malaysia akan rangka pakej menarik dalam zon perdagangan bebas digital

Advertisement
 Najib merasmikan majlis penutup Daya eUsahawan 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin. — Gambar Bernama

RASMI: Najib merasmikan majlis penutup Daya eUsahawan 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia akan merangka pakej menarik dalam zon perdagangan bebas digital bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai sektor e-dagang di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan merangka pakej tersebut bersama pengasas Alibaba, Jack Ma, yang akan datang ke Malaysia pada Mac tahun depan bagi melancarkan zon perdagangan bebas digital berkenaan.

“Kita akan berbincang apa ciri-ciri insentif, peraturan dan sebagainya supaya ia akan menjadi pakej yang cukup menarik dan melihat ramai yang akan terpanggil melibatkan diri dalam kegiatan digital di zon perdagangan bebas digital yang kita akan lancarkan,” kata Najib.

Beliau berkata demikian dalam sesi sembang santai persidangan Daya eUsahawan 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, kelmarin.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood.

Jack Ma yang dikenali sebagai taikun internet itu sebelum ini dilantik sebagai penasihat ekonomi digital kepada kerajaan Malaysia dalam meneraju pembangunan e-dagang Malaysia ketika lawatan rasmi Perdana Menteri ke China baru-baru ini.

Najib menyatakan demikian ketika ditanya seorang peserta persidangan tersebut, Umarul Ariffin Jeffri yang juga pengusaha ‘tinted’ cermin kereta mengenai pengalamannya bertemu Jack Ma ketika lawatan beliau ke China.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu rakyat di negara ini aktif menceburi bidang e-dagang dan bukannya sekadar menjadi penonton kepada perkembangan sektor itu.

Beliau berkata penggunaan teknologi digital dalam perniagaan mampu meningkatkan pendapatan berlipat kali ganda berbanding kaedah tradisional.

“Kalau dahulu kita beli buku di kedai-kedai buku, tetapi sekarang orang order pakai Amazon…kalau kita tidak mengikut perubahan ini, kita akan tewas, kita mungkin akan pupus macam dinosaur,” katanya.

Dalam sesi itu, beliau turut berkongsi kemungkinan akan memasarkan produk dari Pekan, Pahang, seperti ‘Puding Diraja’, ‘daging opor’ dan ‘Tenun Diraja’ melalui e-dagang sekiranya tidak berkecimpung dalam dunia politik.

Menjawab soalan Anis A’dilah Noor Azaman, seorang pengusaha penjagaan dalaman wanita mengenai bagaimana seseorang individu itu dapat membangkitkan aura positif khususnya dalam menghadapi cabaran perniagaan, Najib berkata mereka perlu kuat dan jangan berputus asa.

“Walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan atau halangan, atau ada orang balun kita, tikam kita dari belakang, kita jangan putus asa, sentiasa optimis dan jangan lari dari fokus kita,” katanya.

Pada persidangan itu, Perdana Menteri turut melancarkan program eU@Marketplace bagi mempelbagaikan peluang usahawan menjana pendapatan.

Program terbaru MDEC itu dengan kerjasama bersama tujuh platform jual beli atas talian iaitu Lelong.my; 11street.my; AVANA; EasyStore; AmaxMall; MyBazaar dan Shopee menyediakan peluang pemasaran supaya usahawan dapat menjangkau pasaran yang lebih luas. — Bernama

Advertisement