Anda di sini

Emas dan mata wang asing tertentu dijangka meningkat susulan kemenangan Trump: HSBC

Advertisement

KUALA LUMPUR: Emas dan mata wang asing tertentu dijangka meningkat susulan laporan kemenangan calon parti Republikan, Donald Trump, sebagai Presiden baharu Amerika Syarikat (AS).

HSBC Global Research dalam satu nota kelmarin berkata, emas dijangka mencatat prestasi baik dalam persekitaran pengembangan fiskal, dasar perlindungan yang semakin ketat dan sebarang peningkatan risiko geopolitik.

Emas juga tidak akan mengalami sebarang gangguan campur tangan dan harga logam berharga itu diunjur meneruskan kenaikan susulan statusnya sebagai aset selamat, menurut firma berkenaan.

“Kami mengunjurkan emas meningkat kepada AS$1,500 per auns (AS$1=RM4.23) dan mata wang selamat seperti yen Jepun dan franc Switzerland juga akan kekal disokong dalam tempoh sederhana,” menurutnya.

Mengenai tukaran asing, kesan jangka sederhana bagi dolar AS susulan cadangan Trump adalah lebih bercampur-campur bagaimanapun secara keseluruhannya akan masih negatif, katanya.

“Kami perlu meneliti yang sama satu dasar yang akan beliau laksanakan. Pengembangan fiskal dan undang-undang baharu untuk menggalakkan (atau memaksa) penghantaran balik keuntungan luar negara mungkin positif untuk dolar AS.

“Bagaimanapun, kelemahan dolar AS mungkin merupakan sebahagian daripada usaha Trump untuk menggalakkan sektor pembuatan; dasar imigresen yang sukar boleh membantutkan potensi pertumbuhan, manakala tekanan ke atas pendapatan sebenar daripada tarif yang lebih tinggi boleh membawa ekonomi itu ke arah kemelesetan,” kata HSBC Global Research.

Firma itu berkata, ditambah dengan pendirian pengasingan AS yang berkemungkinan menggalakkan rakyat asing menjual aset AS mereka,” katanya.

Tahap kesan tukaran asing adalah bergantung kepada sama ada Trump akan melaksanakan semua janji semasa kempen pilihan raya atau sebaliknya.

“Ini mungkin tidak berlaku, namun pasaran akan perlu mengambil kira beberapa kemungkinan bahawa setiap perkara boleh berlaku.

“Kemungkinan ini akan berubah dari semasa ke semasa, bergantung kepada janji Trump dan tahap sokong Kongres yang didominasi oleh Republikan,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, cadangan dasar berbeza oleh Trump mempunyai pelbagai implikasi ke atas dolar AS, namun tidak semua kesan itu akan berlaku serentak.

“Persoalan mengenai penjujukan akan mempunyai kesan kepada dolar AS,” katanya.

Penurunan dolar AS berkemungkinan menyebabkan persaingan perdagangan berlaku lebih pantas berbanding peningkatan mata wang itu untuk rangsangan fiskal memandangkan ia memerlukan kelulusan Kongres, katanya.

“Akhirnya, inilah hasil perubahan secara berpotensi untuk pasaran tukaran asing dan mungkin emas,” katanya.

Tindakan harga jangka pendek akan dipengaruhi oleh langkah elak risiko, ketidakstabilan dan ketidaktentuan yang tinggi.

“Implikasi jangka sederhana akan ditentukan oleh kadar dan skala pelaksanaan dasar oleh pentadbiran Trump,” menurut firma penyelidikan itu. — Bernama

Advertisement