Anda di sini

Dayak Culture Festival 2016 pamer keunikan pakaian, adat tradisional Dayak

Advertisement

// Oleh Kepu Sidi //

 Pelbagai NGO Dayak berarak mengelilingi pasar Sarikei.

BERARAK: Pelbagai NGO Dayak berarak mengelilingi pasar Sarikei.

LEBIH 100 orang terdiri daripada ahli Kesatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), Kelab Gagung, Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS), Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Kesatuan Orang Ulu Sarawak (OUNA) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang lain menyertai Dayak Culture Festival 2016 di Sarikei, Ahad lepas.

Dayak Culture Festival 2016 julung kali dianjurkan di bahagian ini dan dikelolakan oleh SADIA cawangan Sarikei.

Pengerusi SADIA Sarikei, Clement Hillary berkata sambutan pada penganjuran sulung Dayak Culture Festival 2016 amat memberangsangkan dan di luar jangkaan pihak penganjur.

“Objektif Dayak Culture Festival 2016 diadakan adalah untuk mempamer pakaian dan adat tradisional masyarakat Dayak di negeri ini yang penuh dengan keunikan dan tarikan khasnya dari aspek pakaian tradisional masyarakat Dayak.

“Pada masa yang sama, program ini untuk merapatkan hubungan sesama persatuan dan badan NGO masyarakat Dayak yang telah ditubuhkan di negeri ini,” katanya.

Sempena temasya ini, masyarakat Dayak terdiri daripada pelbagai suku kaum telah berarak sejauh 2.5 kilometer lengkap dengan pakaian tradisional masyarakat masing-masing, mengelilingi pasar Sarikei.

Rombongan ini telah memulakan dan menamatkan perarakan mereka di Dewan Suarah Sarikei.

Di samping itu, terdapat beberapa aktiviti lain yang dianjurkan sempena program ini seperti Pertandingan Karaoke Lagu Iban, Pertandingan Menyumpit, Klinik Tatto, Rumah Asap Dayak, gerai jualan dan autoshow motosikal berkuasa tinggi.

Turut hadir pada majlis ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N46 Meradong Ding Kuong Hiing, Mejar Jeneral Datuk Steven Mundaw dan Peter John Jaban.

c_pc0017802

 Kelab Gagung yang turut serta dalam Dayak Culture Festival 2016.

SEMANGAT PAHLAWAN: Kelab Gagung yang turut serta dalam Dayak Culture Festival 2016.

Advertisement