Anda di sini

Turkmenistan mahu Petronas tingkatkan penyertaan dalam aktiviti hiliran

PUTRAJAYA: Turkmenistan menyatakan minat mereka terhadap syarikat minyak milik negara, Petronas untuk meningkatkan penyertaannya dalam aktiviti hiliran terutamanya dalam loji petrokimia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam sidang media bersama di sini semalam, Najib berkata Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov juga mahu Petronas, yang telah melabur kira-kira AS$10 bilion di Turkmenistan sejak 1996, mempertimbangkan untuk terlibat dalam projek saluran paip Afghanistan-Pakistan.

Saluran paip itu akan menyalurkan gas asli di Laut Kaspia dari Turkmenistan melalui Afghanistan ke Pakistan dan kemudian, ke India.

“Saya menyatakan penghargaan saya kepada Presiden Gurbanguly Berdimuhamedov yang memberi kami peluang untuk menunjukkan komitmen kami kepada Turkmenistan melalui penglibatan Petronas,” kata Najib.

Berdimuhamedov, yang dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia mulai Isnin, sebelum itu mengadakan perbincangan dengan Najib di Perdana Putra di sini.

Ini merupakan lawatan kedua oleh Presiden Berdimuhamedov ke Malaysia. Lawatan pertama beliau adalah pada 2011.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pembangunan kemudahan gas di Laut Kaspia adalah contoh komitmen Malaysia kepada Turkmenistan.

“Berasa bangga bahawa Malaysia dapat membangunkan teknologi tinggi di Turkmenistan untuk menunjukkan komitmen kami dan keupayaan Petronas sebagai  syarikat untuk membangunkan sumber minyak dan gas di seluruh dunia,” katanya.

Najib berkata Petronas komited untuk menjadi warga korporat yang baik di Turkmenistan khususnya, dan terus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dalam industri minyak dan gas selain menyediakan latihan di Malaysia melalui Petronas.

Pada masa ini, Perdana Menteri berkata 85 peratus daripada jawatan di Turkmenistan dipegang oleh penduduk tempatan.

Petronas turut menyediakan latihan kepada 230 juruteknik dan 150 biasiswa diberikan kepada rakyat Turkmenistan untuk terlibat dalam industri minyak dan gas, katanya.

Berdimuhamedov berkata Petronas Carigali (Turkmenistan) merupakan contoh yang baik bagi operasi jangka panjang yang berjaya di Turkmenistan untuk kerjasama dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Kami mengalu-alukan lebih banyak syarikat Malaysia untuk mewujudkan penyertaan yang aktif dan akan menyediakan bantuan lain di negara kami,” katanya.

Beliau berkata terdapat prospek yang besar untuk aktiviti bersama dalam bidang tenaga, komunikasi, perbankan, pembinaan, pengurusan bandar, pemprosesan minyak dan gas, industri kimia, teknologi tinggi dan pelancongan.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk meningkatkan, menggalakkan dan membangunkan kerjasama yang komprehensif dalam industri minyak dan gas serta pengeluaran petrokimia, atas dasar kesaksamaan dan manfaat bersama.

“Kedua-dua pihak, mengakui keperluan untuk menggalakkan pelaburan asing untuk memacu kemakmuran ekonomi kedua-dua negara, berdasarkan pengalaman Petronas yang lama dan positif dalam sektor minyak dan gas di Turkmenistan dan bersetuju untuk terus membangunkan kerjasama yang memberi manfaat bersama,” katanya. — Bernama

Advertisement