Anda di sini

Pertama Ferroalloys keluar produk untuk industri keluli dunia

Advertisement

// Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

 Loji Pertama Ferroalloys Sdn Bhd di Taman Perindustrian Samalaju  yang menghasilkan ferro mangan untuk dieksport ke seluruh dunia.

PERTAMA: Loji Pertama Ferroalloys Sdn Bhd di Taman Perindustrian Samalaju
yang menghasilkan ferro mangan untuk dieksport ke seluruh dunia.

 

PRODUK ferro silikon, ferro mangan dan silikon mangan merupakan bahan penting dalam penghasilan keluli. Keluli pula merupakan komponen utama dalam pembinaan bangunan, perkakasan, kereta, peralatan serta digunakan sebagai struktur pembinaan penting dalam bidang kejuruteraan awam.

Keluli adalah struktur logam yang paling banyak digunakan disebabkan kombinasi beberapa faktor seperti kekuatan tinggi, tahan lama, keanjalan baik, kekukuhan, murah dari segi tempoh pembinaannya yang cepat, saiz pelbagai serta tidak rumit untuk pembinaan infrastruktur.

Industri keluli mengalami perkembangan yang pesat dengan pelbagai penyelidikan telah dilakukan untuk memodenkan kaedah analisis dan reka bentuk keluli dalam usaha menghadapi keadaan dunia yang semakin maju ke hadapan.

Proses analisis dan reka bentuk struktur keluli merupakan salah satu fasa pembinaan terpenting kerana pencapaian reka bentuk yang optimum dapat menjimatkan kos pembinaan, memendekkan masa pembinaan serta menghasilkan sebuah bangunan yang menarik dan selamat untuk didiami.

Begitupun penggunaan keluli dalam industri pembinaan di Malaysia masih kurang jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan negara-negara Eropah lain.

Dalam menghasilkan keluli, logam lebur diperolehi daripada penambahan aloi

dan suhu diubah suai seperti yang dikehendaki. Keluli dioksidakan menggunakan aluminium, ferro silikon atau ferro mangan. Proses untuk mengambil keluli memerlukan ia dituang dari permukaannya dahulu. kemudian diasingkan atau dialirkan melalui lubang serta saluran keluar dengan mencondongkan relau.

Keluli dihasilkan daripada penapisan bijih besi yang dileburkan dalam Relau Bagas. Pembuatan besi telah bermula sejak 2000 tahun yang lampau dan teknik-teknik pembuatannya telah berubah dari semasa ke semasa.

Operasi Relau Bagas pada masa kini dapat menghasilkan kira-kira 8,000 tan besi cair dalam tempoh 24 jam. Bijih besi, arang kok, batu kapur dan sinter (sejenis bijih campuran, arang kok dan batu kapur yang digunakan untuk membuang beberapa jirim meruap) dimasukkan

di bahagian atas relau.

Udara ditiup untuk menaikkan suhu, kandungan oksigen bertindak balas dengan karbon panas dalam arang kok untuk membentuk karbon monoksida secara berterusan untuk mengeluarkan besi.

Berikutan pentingnya industri keluli pada masa kini, Pertama Ferroalloys Sdn Bhd (Pertama Ferroalloys) mengambil langkah penting apabila membuat pelaburan besar di Sarawak dengan membangunkan lojinya di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu pada Februari 2012.

Syarikat itu diperbadankan pada 2 Disember 2010 sebagai AML Manganese (Malaysia) Sdn Bhd dan sebelum merubah nama tersebut pada 14 Februari 2012 sebagai syarikat Pertama Ferroalloy Sdn Bhd dan menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Sarawak Energy Berhad di Taman Perindustrian Samalaju pada Disember 2011.

Pemegang syer yang menerajui pasaran keluli ialah Asia Minerals Ltd, Nippon Denko Corporation Ltd, Shinso Corporation dan Carbon Capital Corporation Sdn Bhd. Kedudukannya di lokasi tanah seluas 180 hektar, Pertama Ferroalloys mula beroperasi pada Jun 2016 dan mengeksport ferro silikon melalui penghantaran kapal pertamanya pada Ogos 2016.

 Hirotaka (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Kohei sambil disaksikan Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) merangkap Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar dan Perikanan (Persisir) Datuk Julaihi Narawi (tengah) dan Pengurus Besar Pertama Ferroalloys Sdn Bhd Andrew Talling.

PENGHARGAAN: Hirotaka (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Kohei sambil disaksikan Menteri Muda Pembangunan Industri (Pelaburan dan Promosi) merangkap Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar dan Perikanan (Persisir) Datuk Julaihi Narawi (tengah) dan Pengurus Besar Pertama Ferroalloys Sdn Bhd Andrew Talling.

Sejak itu pengeluaran produknya dipertingkatkan untuk pelanggan luar negara. Produk lain yang dikeluarkannya ialah mangan silikon dan ferro mangan yang merupakan antara kunci komponen penting dalam penghasilan keluli di seluruh dunia.

Dengan pelaburan bernilai AS$300 juta, loji peleburan Pertama Ferroalloys merupakan pengeluar aloi mangan dan kilang peleburan ferro silikon pertama di Malaysia.

Penghasilan dari relau pertama ferro silikon itu telah berjaya dalam operasinya pada Februari 2016 dan seterusnya pengeluaran untuk relau silikon mangan pula dijadualkan pada suku ketiga 2016. Baki daripada pengeluaran relau seterusnya akan mengikut jangka masa yang dijadualkan tahun ini dengan operasi komersial sepenuhnya pada Februari 2017.

Apabila beroperasi penuh, loji itu mampu menghasilkan pengeluaran produk berjumlah 240,000 tan metrik setahun. Penyiapan loji fasa pertama pada 2014, memproses bijih mangan menjadi produk aloi ferro dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 120,000 tan metrik silikon mangan, 54,000 tan metrik ferro mangan karbon sederhana dan rendah, 60,000 tan metrik ferro silikon dan 200,000 tan metrik bijih mangan sinter dengan jumlah pelaburan keseluruhan RM1 bilion.

Loji itu telah mengambil seramai 428 orang tenaga kerja merangkumi 59 peratus pekerja tempatan dan 41 peratus pekerja asing. Jumlah pekerja tempatan akan ditambah dengan lebih ramai orang tempatan dilatih untuk mengganti pekerja asing secara berperingkat untuk tempoh lima tahun.

Perniagaan tempatan yang kini membekalkan beberapa komponen bahan mentah daripada sumber tempatan turut diberi peluang. Manfaat turut diperluas kepada masyarakat tempatan melibatkan operasi perkhidmatan sokongan, bekalan am dan sokongan pentadbiran, perkhidmatan pengangkutan kakitangan dan barangan serta perumahan kakitangan.

Perkembangan syarikat itu menampakkan kejayaan apabila Pengerusi Pertama Ferroalloys Sdn Bhd Hirotaka Suzuki berkata: “Pertama kali saya datang ke Sarawak pada tahun 2010, saya begitu kagum dengan kerajaan negeri yang begitu berminat untuk menarik pelaburan asing menyertai pembangunan industri di Sarawak.

“Minat saya semakin kuat apabila saya difahamkan mengenai kemudahan disedia dan dibangunkan oleh negeri ini dengan menyediakan sewa tanah yang agak murah, perkhidmatan sokongan perniagaan dan tenaga,” ujarnya pada upacara perasmian pengeluaran komersial Pertama Ferroalloys Sdn Bhd pada 3 November lalu (2016).

Beliau berkata, keadaan itu dan suntikan pelaburan di taman perindustrian adalah pilihan asas pihaknya terhadap saingan negeri-negeri lain untuk menempatkan loji berkenaan

di Taman Perindustrian Samalaju dan pada dasarnya kerajaan negeri yang mudah didekati serta sedia untuk membantu antara sokongan baik yang diperlukan oleh pihaknya sebagai pelabur.

Katanya Pertama Ferroalloys merupakan sebuah syarikat asing yang unik apabila menggunakan nama tempatan ‘Pertama’ yang bermaksud pendahulu dalam bahasa Melayu – satu nama yang dicadangkan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (Ketua Menteri pada masa itu) memandangkan pihaknya merupakan syarikat aloi ferro pertama yang menandatangani PPA dengan Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Ia menandakan penubuhan loji aloi ferro pertama yang mampu merangsang tenaga diperbaharui Sarawak. Sesungguhnya kami melalui tempoh perjalanan yang panjang sejak upacara pecah tanah empat tahun lepas (Mei 2012).

“Perjalanan itu cukup mencabar namun dengan ketabahan dan dedikasi, pasukan kami dan sokongan kuat daripada ketua kami, para kontraktor dan Kerajaan Negeri Sarawak ia telah membawa (kejayaan) kami seperti hari ini,” katanya.

Hirotaka berkata, selepas kejayaan operasi relau pertamanya pada 15 Jun tahun ini (2016), pihaknya terus mantap membangunkan hasil pengeluaran dan memulakan penghantaran komersial sejak 3 Ogos 2016.

Sehingga kini katanya, syarikat telah mengambil 330 tenaga kerja merangkumi 60 peratus pekerja tempatan yang mana jumlah pekerja ini akan ditambah memandangkan syarikat akan memindahkan kemahiran dan pengetahuan menerusi program latihan yang masih dijalankan.

“Kehadiran kami di Bintulu pada amnya dan di Samalaju khususnya tidak hanya berkaitan perniagaan. Kami dengan ikhlasnya ingin terlibat aktif dalam aktiviti komuniti dan kami mengalu-alukan perkongsian dengan kumpulan-kumpulan penting tempatan untuk bekerjasama dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR),” tambahnya.

Beliau berkata, besar harapan pihaknya dalam tempoh memperkembangkan perniagaan, bandar Samalaju turut berkembang seiring namun sekiranya komuniti tidak berkembang maju secara dinamik, Samalaju tidak akan mempunyai ‘jiwa manusia’.

“Pembangunan dalam komuniti merupakan perkara penting untuk merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana melibatkan industri hiliran dan sokongan perniagaan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Kohei Nakamura daripada Kedutaan Jepun di Malaysia mewakili Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa berkata, Pertama Ferroalloys melalui tempoh perjalanan yang panjang di Taman Perindustrian Samalaju.

“Saya mengucapkan tahniah kepada syarikat itu yang kini semakin berkembang sebagai syarikat perintis pertama terbaik dunia bersama pemegang berkepentingan dari segi strategi pelaburan dengan melihat Malaysia sebagai pilihan negara yang menawarkan peluang, destinasi pelaburan dan hartanah,” ujarnya.

Katanya, syarikat itu menghasilkan produk aloi ferro bernilai tinggi untuk keluaran penuh komersialnya dilihat akan memberi manfaat kepada industri keluli seluruh dunia.

“Hubungan kukuh Kerajaan Malaysia dan Jepun telah mengubah banyak sektor berpendapatan tinggi di Malaysia sehingga tahun 2020. Jepun merupakan pelabur terbesar sejak beberapa tahun di Malaysia dari tahun 1980 hingga sekarang (2016) dengan menyaksikan beberapa kejayaan besar,” katanya.

“Hubungan kerjasama Jepun dan Malaysia melalui tempoh yang lama dan sepanjang tempoh itu sebanyak 400 syarikat Jepun telah beroperasi di pasaran Malaysia sekali gus telah mewujudkan sekitar 300,000 peluang kerja kepada penduduk tempatan.

“Sarawak turut mengambil pendekatan untuk menarik lebih banyak pelaburan dari Jepun dengan menjemput lebih ramai ahli perniagaan dari Jepun melabur di negeri itu.

“Begitu juga kerajaan Jepun mengambil inisiatif sama dengan meneruskan pendekatannya untuk menyertai usaha itu melalui pelabur-pelabur berpotensinya,” tambahnya.

Beliau berkata, syarikat-syarikat Jepun juga kini antara syarikat terpenting dunia dalam menawarkan pendidikan dan latihan kemahiran di negaranya kepada penduduk di beberapa negara termasuk Malaysia.

c_pc0017772

Advertisement