Anda di sini

Malaysia yakin catat pertumbuhan positif dalam jumlah dagangan pada akhir tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin akan mencatat pertumbuhan di antara satu dan dua peratus dalam jumlah dagangan tahun ini walaupun Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) mengurangkan unjuran perdagangan global untuk 2016.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata, kementerian itu sedar mengenai cabaran masa depan, tetapi ia akan bekerjasama dengan agensi kerajaan lain, termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), bagi membantu syarikat Malaysia, terutama mengenai hal eksport.

“Saya berpendapat WTO sebenarnya telah menurun taraf prospek pertumbuhan untuk jumlah dagangan daripada 2.8 peratus sebelum ini kepada 1.7 peratus.

“Ada negara yang mencatat pertumbuhan lebih rendah, tetapi Malaysia kekal agak positif.

“Oleh itu, kita percaya kita akan mencatat angka positif pada akhir tahun,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran majlis Graphene Malaysia 2016 di sini semalam.

Dalam Bajet 2017, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah dagangan Malaysia dijangka mencecah RM1.5 trilion.

WTO memberi amaran yang pertumbuhan telah mencatat kadar terendah sejak krisis kewangan global dan meramalkan dagangan global akan berkembang hanya 1.7 peratus pada 2016 berbanding unjuran 2.8 peratus pada April.

Lebihan dagangan Malaysia pada September 2016 merosot 21.6 peratus tahun ke tahun kepada RM7.6 bilion manakala jumlah dagangan jatuh 1.6 peratus dalam tempoh sama kepada RM128.5 bilion.

Semalam NanoMalaysia Bhd menganjurkan majlis dua hari Graphene Malaysia 2016 bagi membentangkan tajuk semasa dan relevan mengenai grafen, iaitu lapisan nipis karbon tulen.

Chua berkata, kerajaan akan terus menyokong pembangunan dalam perniagaan grafen.

“Potensi grafen adalah besar dan kita sedang meneliti perkara itu kerana kita mahu memastikan eksport kita pada masa depan kekal kompetitif.

“Ia juga akan menjadi pemacu untuk kita menggalak lebih banyak pelaburan ke negara ini,” tambah beliau.

Pada 2014, Malaysia melancarkan Pelan Tindakan Grafen Negara (NGAP) 2020 untuk menilai bagaimana negara boleh mendapat manfaat daripada potensi grafen.

Rancangan itu bertujuan meneroka potensi ekonomi hiliran bahan tersebut dalam lima bidang tumpuan utama, termasuk anod bateri lithium-ion dan bahan tambahan getah.

Melalui NGAP itu, Malaysia dijangka menjana pendapatan RM9 bilion, menyumbang RM20 bilion kepada pendapatan negara kasar serta mewujudkan 9,000 pekerjaan pada 2020.  — Bernama

Advertisement