Anda di sini

KWSP labur lebih banyak dalam sektor infrastruktur

Sesuai dengan profil pelaburan, penuhi profil risiko-pulangan

 Pengerusi Eksekutif Ekovest Berhad Tan Sri Lim Kang Hoo (dua kiri) bersama (dari kiri), Lim Keng Cheng, Nasir dan Ketua Jabatan (Jabatan Pasaran Persendirian) KWSP Mohamad Hafiz Kassim (kanan) pada Majlis Menandatangi Perjanjian Pembelian Jualan Saham Bersyarat (SSA) antara Ekovest Berhad dan KWSPsemalam. — Gambar Bernama

PERJANJIAN: Pengerusi Eksekutif Ekovest Berhad Tan Sri Lim Kang Hoo (dua kiri) bersama (dari kiri), Lim Keng Cheng, Nasir dan Ketua Jabatan (Jabatan Pasaran Persendirian) KWSP Mohamad Hafiz Kassim (kanan) pada Majlis Menandatangi Perjanjian Pembelian Jualan Saham Bersyarat (SSA) antara Ekovest Berhad dan KWSPsemalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahu melabur lebih banyak dalam sektor infrastruktur dengan menyediakan tiga peratus daripada peruntukannya untuk segmen tersebut.

Saiz aset KWSP kini sebanyak RM690 bilion, iaitu 51 peratus daripadanya merupakan pendapatan tetap, ekuiti (36 peratus) dan pelaburan alternatif (10 peratus).

Infrastruktur, ekuiti swasta, dan pelaburan hartanah dikategorikan di bawah pelaburan alternatif oleh KWSP.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata segmen infrastruktur bersesuaian dengan profil pelaburan dan memenuhi profil risiko-pulangan institusi itu.

“Antara bidang yang kami berusaha untuk mempertingkatkan adalah sektor infrastruktur memandangkan ia mempunyai kadar pulangan sebenar yang berpotensi.

“Sasaran kami adalah untuk mencapai sekurang-kuranya dua peratus daripada kadar pulangan sebenar dan dua peratus inflasi,” katanya kepada pemberita semasa majlis penandatanganan perjanjian jualan saham bersyarat (SSA) antara KWSP dan unit Ekovest Bhd, Nuzen Corporation Sdn Bhd di sini, semalam.

SSA itu ditandatangani bagi tujuan pembelian 40 peratus modal saham terbitan dan modal saham berbayar Konsortium Lebuhraya Utara (KL) (Kesturi), bagi RM1.13 bilion, yang dijangka selesai pada suku pertama 2017

Perjanjian itu ditandatangani Mohamad Nasir mewakili KWSP, manakala Nuzen diwakili Pengarah Urusan Ekovest, Datuk Seri Lim Keng Cheng.

Mohamad Nasir berkata KWSP tidak hanya melihat kepada tol dan jalan, malah turut bersedia untuk meneroka bidang seperti pelabuhan, lapangan terbang dan loji tenaga, yang merupakan projek penjana tunai yang kukuh.

Nuzen merupakan syarikat pegangan bagi Kesturi, iaitu pemegang konsesi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), laluan sepanjang 34 kilometer yang dibangunkan secara dua fasa, dengan tempoh konsesi 54 tahun.

Fasa satu DUKE telah beroperasi, manakala fasa dua dijangka siap dan memulakan kutipan tol pada separuh pertama 2017.

Sebaik sahaja SSA itu selesai, KWSP akan membayar RM921 juta secara tunai kepada Ekovest, manakala RM209 juta lagi apabila Sijil Perakuan Siap Kerja DUKE fasa dua dikeluarkan, dengan RM149 juta daripadanya akan dimasukkan ke dalam akaun ditetapkan Ekovest.

Sementara itu, Lim berkata sebaik sahaja fasa satu dan fasa dua DUKE siap, lebuh raya itu akan menyumbang kira-kira 30 peratus kepada perolehan syarikat.

“Cadangan penjualan itu adalah seiring dengan strategi syarikat bagi menjana keuntungan daripada aset infrastruktur kukuh dengan tujuan menggunakan sumber kewangan untuk peluasan bahagian infrastruktur dan perniagaan utama lain seperti pembinaan dan pembangunan hartanah,” katanya.

Syarikat berkenaan, yang terlibat dalam perniagaan pembinaan, pembangunan hartanah dan konsesi infrastruktur, juga diberikan konsesi 53.5 tahun untuk membina, mengendalikan dan memindahkan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai sepanjang 32 kilometer, sebelum ini dikenali sebagai DUKE fasa tiga, yang dijangka siap pada 2020.

Ekovest bercadang memperuntukkan RM400 juta daripada hasil penjualan itu untuk pembayaran semula pinjaman, manakala sehingga RM245 juta untuk pemegang saham dan RM485 juta bagi modal korporat am, modal kerja dan lain-lain. — Bernama

Advertisement