Anda di sini

PUNB harap usahawan raih RM1 bilion kontrak HSR

Advertisement
 Khairy Jamaluddin (kanan) menyerahkan replika cek dan trofi kepada juara  ‘PUNB BIZ Challenge 2016’, Hanis Bahaman (kiri) di PWTC semalam. Turut hadir Mohd Ali (tengah). — Gambar Bernama

JUARA: Khairy Jamaluddin (kanan) menyerahkan replika cek dan trofi kepada juara ‘PUNB BIZ Challenge 2016’, Hanis Bahaman (kiri) di PWTC semalam. Turut hadir Mohd Ali (tengah). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) berharap usahawan di bawah naungannya berjaya meraih kontrak bernilai sekurang-kurangnya RM1 bilion menerusi projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kata Pengerusinya Senator Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

“Kita tiada sasarkan berapa juta dan berapa orang (usahawan yang akan berjaya), tetapi untuk projek Transit Aliran Berkapsiti Tinggi (MRT), kita sudah capai RM23 juta (nilai kontrak).

“Dalam HSR, saya harap sekurang-kurangnya RM1 bilion kontrak diperoleh usahawan PUNB…(ini) termasuk juga (kontrak) seperti servis dan penyelenggaraan selepas projek ini siap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah ‘PUNB Biz Challenge’ yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, di sini semalam.

Projek HSR yang dijangka menelan belanja antara RM60-65 bilion, membabitkan landasan sepanjang 350km dan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri, dan Singapura.

Projek itu akan mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada hanya 90 minit, dengan kelajuan lebih 300km sejam.

Mohd Ali berkata usahawan baharu digalakkan menceburi bidang perniagaan yang melibatkan projek-projek mega yang memberi impak besar kepada ekonomi usahawan dan negara seperti MRT, Bandar Malaysia serta HSR yang sedang dijalankan kerajaan.

Katanya usahawan generasi baharu perlu mendapatkan khidmat nasihat seperti yang ditawarkan oleh PUNB, ahli-ahli perniagaan berjaya yang mempunyai teknologi, serta agensi-agensi kerajaan supaya tidak terlepas daripada memperoleh peluang perniagaan yang baik.

“Mereka boleh berjumpa PUNB. Kerja… (pemilik projek) bagi, kita (PUNB) pula boleh beri pembiayaan dan nasihat teknikal, begitu juga agensi-agensi yang lain.

“Dengan cara begini, lebih banyak usahawan teknologi baharu dapat kita keluarkan,” katanya.

Mohd Ali turut menggesa syarikat Malaysia yang memperoleh projek mega supaya mengambil syarikat PUNB yang mempunyai teknologi dan produk sedia ada.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB Datuk Dzulkifli Fadzilah berkata perbadanan tersebut menyalurkan pinjaman berjumlah RM145 juta sehingga September tahun ini, melibatkan 350 usahawan di seluruh negara.

“Menjelang akhir tahun, jumlahnya akan melebihi sasaran RM150 juta,” katanya. — Bernama

Advertisement