Anda di sini

Industri tekstil Malaysia akan berkembang melalui TPPA

Malaysia boleh memanfaatkan peraturan ‘yarn-forward’

KUALA LUMPUR: Industri tekstil Malaysia tidak akan menjadi industri yang malap berikutan Perjanjian Perkongsian Trans- Pasifik (TPPA) menjanjikan pelaburan yang akan meningkat.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk J.Jayasiri berkata Malaysia boleh memanfaatkan peraturan ‘yarn-forward’ dan memenuhi keperluan pengeluar tekstil dan pakaian, serta pengguna dalam kalangan negara-negara yang memeterainya.

Peraturan ‘yarn-forward’ menetapkan sumber bahan tekstil yang diperoleh daripada negara-negara anggota TPP layak untuk mendapat status bebas cukai perjanjian perdagangan itu.

“Anggota TPPA dikehendaki mendapatkan input daripada anggota, mewujudkan peluang pelaburan untuk menghasilkan input.

“Malah, sebelum perjanjian itu berkuat kuasa, kami mula melihat pelabur (asing) datang ke Malaysia berikutan mereka mendapati negara ini pilihan yang baik untuk menghasilkan bekalan input ke pasaran ini,” katanya, sambil menambah pengeluar tempatan turut memperluaskan operasi dalam menghasilkan barangan ‘yarn forward’.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan TV3 di luar seminar selama tiga hari, bertemakan ‘Unboxing TPPA for Business Strategy for the Textile and Apparel Industry’ anjuran Persatuan Pengeluar Tekstil Malaysia di sini semalam.

Jayasiri berkata industri ini menawarkan pelbagai peluang dan Malaysia boleh merebut pembuatan produk berasaskan sintetik dan pakaian mewah, merupakan produk dengan nilai tambah yang tinggi, yang perlu digalakkan oleh negara.

Beliau berkata memandangkan perjanjian itu menetapkan peruntukan senarai ‘short-supply, yang memberi pengecualian untuk negara anggota TPPA membeli bahan mentah daripada bukan anggota, Malaysia akan meraih manfaat daripadanya untuk suatu tahap tertentu.

“Penggiat industri perlu lebih inovatif, memacu produktiviti dan kos yang berdaya saing untuk memanfaatkan peluang di bawah TPPA,” katanya.

Beliau berkata eksport semasa tekstil Malaysia ke pasaran TPPA sebanyak RM5.3 bilion dan ia dijangka meningkat dalam tempoh dua tahun apabila perjanjian perdagangan itu berkuat kuasa.

Mengenai bantahan terhadap TPPA oleh calon-calon presiden Amerika Syarikat (AS), katanya Malaysia telah dimaklumkan baru-baru ini bahawa Pentadbiran AS berusaha untuk membawa perjanjian perdagangan itu melalui Kongres.

Jayasiri berkata dikatakan Presiden AS Barrack Obama boleh membentangkan Rang Undang-Undang TPPA kepada Kongres walaupun sebelum presiden baharu dilantik dan jika ia lulus, presiden baharu perlu melaksanakan keputusan tersebut.

“Ratifikasi dan penyertaan AS dalam perjanjian itu penting berikutan ia membentuk 85 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam kalangan 12 negara anggota.

“Semua negara anggota perlu meratifikasi dalam tempoh 24 bulan selepas pemeteraian, dan jika ia tidak berlaku, langkah seterusnya ialah sekurang-kurangnya enam buah negara, yang menyumbang 85 peratus daripada (jumlah) KDNK, masih boleh melaksanakan perjanjian itu,” katanya. — Bernama

Advertisement