Anda di sini

Qingzhou sedia terima sarang burung walit mentah

Advertisement
 Ahmad Shabery (kiri) pada sesi lawatan rasmi ke Makmal Pemeriksaan Sarang Burung Walit dan Makanan Sihat Bernutrisi Qingzhou.

TELITI: Ahmad Shabery (kiri) pada sesi lawatan rasmi ke Makmal Pemeriksaan Sarang Burung Walit dan Makanan Sihat Bernutrisi Qingzhou.

Perkembangan baik kerana sebelum ini Malaysia hanya mengeksport sarang yang telah dibersihkan

Oleh Adriana Mroon Ambrose //

QINZHOU: Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia kini bersedia untuk menerima sarang burung walit mentah belum bersih Malaysia yang akan dieksport ke China melalui daerah Qinzhou.

Pengarah Makmal Pemeriksaan Sarang Burung Walit dan Makanan Sihat Bernutrisi (bird nest and nutritional health food laboratory) He Ri An berkata, makmal bernilai lebih RM22 juta  itu kini telah pun memulakan operasinya sebagai pusat pemeriksaan sampel makanan dan juga sarang burung walit.

“Makmal tersebut akan berfungsi sebagai pusat pemeriksaan sampel-sampel sarang burung mentah belum diproses bagi memastikan ia mematuhi tahap yang telah ditetapkan dalam Protokol Keperluan Pemeriksaan, Kuarantin dan Kebersihan Veterinar bagi Pengeksportan Sarang Burung Walit Mentah Belum Bersih Malaysia ke China,” katanya pada sesi lawatan rasmi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ke makmal tersebut di sini baru-baru ini.

Pada masa sama, Ahmad Shabery menjelaskan bahawa perkara ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk industri sarang burung walit Malaysia kerana sebelum ini hanya sarang burung walit telah dibersihkan dengan kuota 30 metrik tan sahaja boleh dieksport ke China.

“Ini tentunya akan dapat memberikan kelebihan dan boleh meningkatkan pendapatan kepada lebih 10,000 pengusaha sarang burung walit di Malaysia kerana kini mempunyai pasaran yang lebih besar.

“Malaysia menghasilkan hampir 300 metrik tan sarang burung walit setahun. Ahmad Shabery berkata, pihak MOA akan berusaha untuk memastikan pengeksportan tersebut akan dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan.

“Ini kerana menurutnya, terdapat 35 perkara yang terdapat dalam protokol tersebut yang perlu dilaksanakan oleh kedua-dua pihak bagi memenuhi keperluan ditetapkan.

“Perdana Menteri memaklumkan mahu ia dapat dilaksanakan secepat mungkin dan saya percaya ia boleh terlaksana dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Protokol tersebut telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dan China, di Beijing disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya Li Keqiang, pada Isnin lepas di Beijing.

Manakala, protokol yang ditandatangani Ahmad Shabery mewakili Malaysia dan Menteri General Administration of Quality Supervision, Inspection and Quariantine China (AQSIQ) Zhi Shuping akan membolehkan produk sarang burung walit mentah belum bersih dieksport ke negara tersebut.

Ketika lawatan tersebut, Ahmad Shabery turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Taman Perindustrian China Malaysia Qinzhou (Guangxi) bersama Netfarm Solution Sdn Bhd. Perjanjian tersebut adalah bagi menyediakan satu kerjasama bagi melaksanakan kerja-kerja penyediaan ke arah pengeksportan sarang burung walit ke China melalui Qinzhou.

Advertisement