Anda di sini

Kajian punca belia terlibat aktiviti radikal dibentang Jan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kajian mengenai punca belia terlibat dengan aktiviti radikal seperti Daesh dijangka dibentang kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Belia pada Januari depan sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kajian yang dijalankan kementeriannya melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara itu akan turut mengemukakan syor-syor bagi mengekang kegiatan seumpama itu.

“Mungkin dengan hasil kajian ini kita dapat merangka dan memulakan satu inisiatif pencegahan yang lebih tepat sasarannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Belia Menentang Keganasan anjuran Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) di sini semalam.

Dalam menjalankan kajian bermula Ogos lalu itu, golongan belia yang ditangkap kerana terlibat dengan Daesh ditemu bual bagi mengetahui punca penglibatan mereka.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Khairy berkata pendekatan untuk mengekang fahaman radikal bukan sahaja menjurus kepada aspek keselamatan dan agama tetapi memerlukan pendekatan ekonomi dan sosial.

Katanya, kerajaan harus melihat masalah itu secara holistik dan mengambil pelbagai inisiatif termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia. — Bernama

Advertisement