KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu berjaya menghalang cubaan pihak tidak bertanggungjawab menyebar ajaran sesat di negeri ini pada akhir tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata perkara itu dikesan oleh Jawatankuasa Pemantauan Khas di bawah Pejabat Hal Ehwal Agama Terengganu.
“Dua guru agama dari Yaman berusia lingkungan 30-an dikesan cuba mengajar fahaman selain pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di sebuah masjid negeri ini.
“Bagaimanapun, apabila menyedari kegiatan mereka dikesan, kedua-dua guru agama itu meninggalkan Terengganu dan difahamkan pulang ke negara asal mereka,” katanya kepada pemberita semalam.
Ghazali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil bagaimanapun berkata Terengganu tidak pernah menghalang mana-mana guru agama dari negara luar untuk datang berdakwah ke negeri itu.
Namun katanya, dakwah itu mestilah mengikut Mazhab Syafie bagi mengelak wujudnya unsur ajaran sesat yang boleh mencetuskan kekeliruan dan perbalahan di kalangan rakyat.
Ghazali berkata paling penting guru agama perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk mengajar di mana-mana masjid atau surau di negeri ini.
“Jawatankuasa khas itu juga masih meneruskan pemantauan terhadap guru agama dari luar termasuk Iran, Syria dan Iraq dan akan bertindak ke atas mana-mana pihak yang mencurigakan.
“Jawatankuasa itu juga memantau pengesahan sijil kelayakan mereka dan akan mendapatkan maklumat dari Wisma Putra untuk memastikan guru agama itu bebas daripada ajaran sesat atau fahaman ekstrem yang boleh merosakkan akidah umat Islam di negeri ini,” katanya. — Bernama