Anda di sini

Calon Ahli Parlimen Belia Malaysia mahu perjuang pandangan belia luar bandar

Advertisement

BELURAN: Membentuk belia berkualiti dengan membawa suara seiring tindakan agar luahan didengari pihak pada peringkat nasional serta berjuang menyampai pandangan belia ke peringkat tertinggi negara bagi menyumbang pembangunan negara, seorang beliawanis, Suhainna Jambri, 22, menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia bagi sesi 2017-2018.

Suhainna, berkelulusan Diploma Multimedia, Pengiklanan dan Penyiaran dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing merupakan anak kepada Ketua Wanita UMNO Beluran, Endang Datu Asibi.

Menurut beliau, sejajar pembangunan negara, minda golongan belia pada masa kini bukan sahaja perlu digarap dan dicanai mengikut acuan yang betul, malah perlu diperkuatkan dengan elemen minda secara global dengan melihat masa depan untuk menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang mampu melahirkan belia berwawasan, berjaya dan berintegriti.

“Melihat kepada keadaan semasa, ia memperkuatkan niat saya untuk bertanding sebagai calon Ahli Parlimen Belia Malaysia. Ini kerana masih banyak isu berhubung belia khususnya dari kawasan luar bandar perlu diketengahkan ke peringkat tertinggi negara dan saya berpendapat menjadi Ahli Parlimen Belia Malaysia antara landasan terbaik bagi mengutarakan semua isu itu,” katanya.

Memegang nombor calon SBH024 dan membawakan manifesto ‘Transformasi Belia Membentuk Modal Insan Berkualiti’, Suhainna menyatakan akan berusaha merealisasikan manifesto itu sekiranya berjaya menjadi Ahli Parlimen Belia Malaysia bagi tempoh 2017-2018 sekaligus membela nasib belia di kawasan luar bandar.

Suhainna mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Muhibbah, Sandakan dan seterusnya melanjutkan pendidikan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Muhibbah, Sandakan.

Beliau bertanding sebagai calon Ahli Parlimen Belia Malaysia selepas mendapat dorongan dan sokongan daripada ibubapa serta abangnya yang juga bergiat aktif dalam bidang politik pada masa kini.

“Ketika ini, ibu dan abang yang mendidik saya berhubung aspek politik negara dan dari situlah bermulanya niat saya untuk bertanding sebagai calon Ahli Parlimen Belia Malaysia ini,” katanya.

Suhainna yang bercita-cita menjadi seorang usahawan berjaya berkata, ketika ini masa lapangnya sentiasa diisi dengan menyertai aktiviti kaum wanita di Beluran.

Mudah bergaul, itu antara sifat yang ada pada Suhainna dan beliau mengaku sifat berkenaan dipelajari ketika belajar di ibu negara beberapa tahun lalu.

“Sebelum ini, saya memang suka bergaul dengan orang ramai, namun hidup di perantauan ketika belajar banyak mendidik saya untuk mengenal erti kehidupan dan saya mempraktikkannya ketika bertemu dengan orang lain,” jelasnya.

Dengan harapan, sokongan dan dorongan dari pelbagai pihak, Suhainna pada masa yang sama mengingatkan golongan belia agar sentiasa dekat dengan pemimpin sedia ada dan memastikan setiap belia mendapatkan maklumat berhubung Parlimen Belia Malaysia dengan melayari www.parlimenbelia.gov.my.

Advertisement