PUTRAJAYA: Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov akan melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada 7 dan 8 Nov.
Kementerian Luar dalam kenyataannya hari ini berkata Berdimuhamedov dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya pertemuan itu akan membolehkan kedua-dua pemimpin membincangkan tentang hubungan dua hala, termasuk kerjasama dalam sektor minyak dan gas, yang melibatkan pembabitan aktif Petronas di Turkmenistan, serta meneroka bidang kerjasama lain.
“Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pemipin untuk bertukar-tukar pandangan tentang pelbagai isu global dan serantau yang mempunyai kepentingan bersama kepada kedua-dua negara,” kata kementerian itu.
Menurut kenyataan tersebut, kedua-dua pemimpin juga dijadual menandatangani Kenyataan Bersama dan menyaksikan upacara menandatangani Protokol Meminda Perjanjian mengenai Kerjasama Ekonomi, Saintifik dan Teknikal serta Memorandum Persefahaman dalam bidang sukan bagi meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara.
Ini akan merupakan lawatan kali kedua Berdimuhamedov ke Malaysia selepas lawatan pertama beliau pada 2011. — Bernama