Anda di sini

Pelajar disaran rebut peluang tingkat ilmu pengetahuan

Advertisement

TAWAU: Pelajar perlu merebut setiap peluang meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran berikutan persaingan sengit dan getir masa kini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, persaingan tersebut akan lebih mencabar dengan wujudnya Perjanjian Perkongisan Trans-Pasifik (TPPA) pada tahun 2018,  yang membuka ruang masyarakat dunia untuk merebut setiap peluang yang ada di mana-mana negara termasuk Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 6/2016  SMK Jambatan Putih di salah sebuah hotel terkemuka di Tawau.

Katanya, ibu bapa juga perlu terus memainkan peranan memberi sokongan bagi memastikan anak-anak menjadi harta pelaburan yang paling penting untuk masa hadapan. Jelasnya, tidak ada jalan pintas untuk meraih kejayaan dalam kalangan anak-anak melainkan dengan melakukan pengorbanan tenaga, wang ringgit dan masa.

Tawfiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas berkata, untuk berjaya, persiapan harus dimulakan sejak dari awal dengan menetapkan sasaran untuk kejayaan luar biasa. Justeru, nilai pendidikan perlu diletakkan sebagai keutamaan dalam sesebuah keluarga.

Menurutnya, bagi mengekalkan prestasi akademik anak-anak di sekolah, kerjasama padu antara ibu bapa dan guru-guru juga perlu terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Pada majlis itu seramai kira-kira 70 pelajar Tingkatan 6 menerima anugerah masing-masing termasuk Anugerah Pelajar Terbaik Tingkatan, Tokoh Kurikulum dan Tokoh Pelajar.

Turut hadir Pengetua SMK Jambatan Putih Eko Sukohidayat Sunarto dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau Abdul Hadi Karim.

Advertisement