KUCHING: Program jualan ‘Kuching Trunk Sale’ edisi ketiga sedang berlangsung di Pasar Raya Emart, Batu Kawa di sini selama dua hari bermula semalam hingga hari ini.
Anjuran Filmmaker Company dengan kerjasama Emart Batu Kawa, program ini merupakan yang terbesar setakat ini dengan penyertaan seramai 65 peniaga.
Jurucakap program Samuel Wong yang ditemui di lokasi jualan semalam berkata, program ini diadakan bukan sekadar untuk menjual barangan semata-mata.
Sebaliknya menurut Samuel, selain berniaga program ini diharap dapat mewujudkan budaya bandar yang boleh menyatukan masyarakat terutama warga kota di samping berkongsi minat.
“Selain jualan pelbagai jenis barangan baharu dan lama, terdapat juga tarikan lain seperti jualan trak makanan, sudut seni dan persembahan oleh bakat tempatan pada sebelah petang.
“Elemen unik lain termasuklah ‘Kids Trunk’ di mana kanak-kanak dengan pengawasan orang dewasa menjual barangan mereka .
“Tujuannya, adalah untuk menyemai konsep nilai-nilai dan amalan perbelanjaan yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, program jualan ini dibuka kepada orang ramai bermula dari jam 3 petang hingga 10 malam di hadapan pintu masuk Emart, Batu Kawa.
Pelbagai barangan dijual pada harga murah sepanjang jualan ini seperti buku-buku dan pakaian terpakai, barang mainan, elektronik, aksesori wanita, perkakasan kediaman, makanan, minuman, kraf tangan dan sebagainya.
Pihak penganjur turut menawarkan sebuah telefon pintar Vivo kepada pengunjung bertuah yang menyertai peraduan ‘Tangkap, Tag dan Menang’.
Untuk menyertai adalah mudah hanya tangkap gambar di Trunk Sale berserta kapsyen menarik dan hastag ke #KCHTRUNKSALE dan #EMART di Instagram.