Anda di sini

Rozel Signature serlah kualiti produk pada nama

Advertisement
 Rozel memperkenal koleksi terkini, iaitu Rozel Signature di Rozel Pavilion, Jalan Klang Lama semalam.

REKAAN MEWAH: Rozel memperkenal koleksi terkini, iaitu Rozel Signature di Rozel Pavilion, Jalan Klang Lama semalam.

KUALA LUMPUR: Selaras dengan perkembangan gaya hidup mewah dan kewujudan semakin ramai golongan profesional yang arif tentang kualiti produk, Rozel memperkenal koleksi terkini, iaitu Rozel Signature di Rozel Pavilion, Jalan Klang Lama semalam.

Menurut Pengarah Urusan Rozel Corporation Gan Tai Hwa, bagi individu yang mementingkan kualiti perabot di samping ciri-ciri estetik mewah dengan nilai yang berbaloi, Rozel Signature adalah suatu personaliti jenama yang paling sesuai.

“Rozel Signature membawakan satu kelainan baharu dalam kehidupan golongan profesional muda yang mengamalkan gaya hidup mewah di kediaman yang bersaiz sederhana atau kondominium bertaraf tinggi.

“Golongan ini merangkumi mereka yang mahu memaksimumkan ruang kediaman di rumah dengan perabot berkualiti tinggi yang praktikal, unik dan padat,” katanya.

Bagi segmen sasaran ini, mereka mengutamakan ciri-ciri seperti saiz, kualiti, reputasi jenama dan nilai keseluruhan.

Segmen ini terdedah kepada perubahan di dunia gaya hiasan dalaman dan fesyen terkini, arif menilai bahan mentah yang bermutu serta kepakaran menghasilkan produk bermutu tinggi.

Bagi memberikan pemahaman yang lebih jelas, Gan menerangkan bahawa pengkategorian perabot Rozel boleh dibandingkan dengan cara jenama mewah lain menawarkan kategori produk mereka.

Kategori-kategori itu, walaupun mempunyai kelainan dan keunikan masing-masing, ia akhirnya melambangkan ciri unggul jenama mewah itu.

Koleksi Rozel Lifestyle menawarkan perabot mewah Rozel dalam kategori aras permulaan. Koleksi serba mewah ini diperbuat menggunakan kulit Bovine berkualiti tinggi.

Harga rangkaian sofanya adalah di antara RM5,000 hingga RM10,000.

Rozel Signature pula berada pada satu paras yang lebih tinggi dengan kemasan yang lebih halus selain menggunakan kulit premium Federica dengan jahitan kemasan yang lebih halus.

Koleksi sofa Rozel Signature berharga di antara RM10,000 dan RM20,000 dan ia mengikut perkembangan fesyen terkini.

Warna-warnanya seperti biru muda, kuning dan merah jambu adalah unik, menyegarkan dan menarik perhatian generasi lebih muda.

Dengan reka bentuk yang lebih kompak, koleksi Rozel Signature menawarkan rangkaian perabot mewah saiz sederhana, dan dikategorikan di paras antara koleksi Rozel Lifestyle dan jenama mewah utamanya,  Rozel Gold.

Koleksi Rozel Gold diperbuat daripada kulit Aniline yang lebih tinggi kualitinya, lembut, tebal serta lengkap dengan kelim dan jahitan yang kemas.

Koleksi paling mewah ini membawakan jenama Rozel kepada suatu tahap kemewahan dan gaya yang paling unggul.

Perabot Rozel Gold adalah lebih luas dan besar. Kesemua sofa koleksi Rozel Gold berharga lebih daripada RM20,000.

Rozel, yang beroperasi lebih 25 tahun, menawarkan pengalaman membeli-belah yang menarik di setiap bilik pamerannya dengan rangkaian perabot kulit jati yang diinspirasikan dari Itali, bermutu tinggi dan selesa.

Berbekalkan kejayaan yang tercapai setakat ini, Rozel telah meluaskan portfolio produknya daripada rangkaian sofa tunggal kepada rangkaian penuh perabot untuk ruang tamu, bilik makan dan bilik tidur.

“Apabila mengunjungi bilik pameran Rozel, anda akan menikmati kemudahan untuk menguji pelbagai perabot dan hiasan yang disediakan sebelum memilih yang mana satu paling menepati cita rasa dan gaya hidup anda,” menurut Gan.

Bilik-bilik pameran Rozel diberi sentuhan hiasan yang anggun. Pameran set-set sebenar disediakan bagi menginspirasikan pelanggan dengan cara-cara untuk menghias rumah mereka, menggabung dan memadankan produk di samping menambahkan keselesaan di dalam rumah.

Rozel kini mempunyai 16 bilik pameran perabot di seluruh Malaysia. Kesemua pusat perabot Rozel menjanjikan kepuasan pelanggan dari segi keselesaan dan kemewahan iaitu ciri-ciri penting jenama Rozel sepanjang penglibatannya dalam industri perabot ini.

Advertisement