Anda di sini

Kunjungi Jerayawara Kediaman dan Hartanah 2016 di Boulevard

Advertisement

 Barapui (dua kiri) ditemani (dari kiri) Richard, Christopher dan Sim mempelawa orang ramai mengunjungi Jerayawara Kediaman dan Hartanah SHEDA 2016 di Boulevard, Kuching.

JOM SERTAI KAMI: Barapui (dua kiri) ditemani (dari kiri) Richard, Christopher dan Sim mempelawa orang ramai mengunjungi Jerayawara Kediaman dan Hartanah SHEDA 2016 di Boulevard, Kuching.

KUCHING: Jerayawara Kediaman dan Hartanah 2016 anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) kini kembali lagi diadakan di Pusat Beli-Belah Boulevard di sini.

Jerayawara yang diadakan pada 11 hingga 13 November merupakan anjuran ketiga tahun ini menyaksikan lebih 30 gerai pempamer dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

Menurut Pengerusi Penganjur Barapui Balangalibun, Jerayawara Kediaman dan Hartanah SHEDA 2016 Ketiga itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada hartanah sahaja tetapi juga perniagaan sampingan seperti sistem keselamatan dan sebagainya.

Malah, beliau memberitahu pembeli rumah juga boleh mendapatkan tawaran istimewa pada jerayawara itu nanti.

“Pengunjung yang membuat pembelian pada jerayawara ini juga berpeluang menyertai peraduan cabutan bertuah ‘Beli dan Menang’ yang menawarkan hadiah menarik,” katanya pada sidang media di Pejabat SHEDA di sini semalam.

Selain itu, Barapui berkata, The Smart Reader Kids juga akan menganjurkan pertandingan ‘Dress Up Quacky’ untuk pelajarnya.

“Jerayawara ini juga akan disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Bagi Kanak-kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA) dan Persatuan Bagi Orang-Orang Buta Sarawak.

“Pada masa sama kita juga akan mengadakan pertandingan mewarna kanak-kanak melibatkan dua kategori iaitu kategori A kanak-kanak berumur tujuh hingga sembilan tahun dan  B kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun pada hari Ahad 13 November sempena jerayawara ini,” tambahnya.

Sehubungan itu, ibu bapa yang ingin anak-anak mereka menyertai pertandingan mewarna boleh menghubungi Tracy di talian 016-8860559 untuk pendaftaran.

Majlis perasmian jerayawara itu dijangka disempurnakan Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian pada 11 November ini jam 3 petang di Boulevard.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Angelina Chai di talian 019-8162191 atau e-mel kepada [email protected].

Hadir sama pada sidang media itu semalam Pengerusi SHEDA Cawangan Kuching Dr Christopher Ngui, Bendahari SHEDA Cawangan Kuching Dr Richard Tan Yoke Seng dan Penasihat Sheda Cawangan Kuching Sim Kiang Chiok.

Advertisement