Anda di sini

Tiada kebocoran maklumat orang dalam ESSCom: Shahidan

Advertisement

Perkongsian maklumat mungkin libatkan PATI dengan pengganas

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan berlaku kebocoran maklumat oleh ‘orang dalam’ Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) kepada pihak luar berhubung pergerakan pasukan keselamatan.

Beliau bagaimanapun berkata perkongsian maklumat mungkin berlaku melibatkan pendatang asing tanpa izin atau tali barut yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan pengganas yang menyerang Pantai Timur Sabah.

“Tiada kebocoran maklumat melalui orang dalam daripada ESSCom seperti yang diperkatakan,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 peringkat Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat kelmarin.

Isu itu dibangkitkan Datuk Dr Ewon Ebin (BN-Ranau) semasa membahaskan rang undang-undang itu sebelum ini, yang mempersoalkan isu kebocoran maklumat mengenai pergerakan pasukan ESSCom mengawal perairan Pantai Timur Sabah.

Sementara itu, Shahidan me-nyifatkan sebagai tidak munasabah cadangan membubarkan ESSCom seperti yang diperkatakan Wong Tien Fatt@Wong Nyuk Foh (DAP-Sandakan) kerana dikatakan gagal mengawal perairan Sabah.

Beliau berkata kerajaan berusaha keras memastikan operasi ESSCom berada pada tahap yang baik dalam mengawal perairan Sabah demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

“Tanggungjawab ESSCom adalah untuk memastikan perairan sabah berada dalam keadaan selamat… dan penubuhannya adalah bagi mengekang pencerobohan di Pantai Timur Sabah selepas percubaan pertama di Kampung Tanduo, Lahad Datu,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata kerajaan telah mengeluarkan peruntukan segera bagi menubuhkan pasukan sukarelawan di bawah Angkatan Pertahanan Laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Tanpa menyatakan jumlah peruntukan itu, beliau berkata pasukan sukarelawan itu akan disertai oleh rakyat bagi membantu pasukan keselamatan.

“Penyertaan rakyat mampu membantu menangani masalah keselamatan kerana kalau kita serah soal keselamatan kepada pihak penguat kuasa tanpa penglibatan rakyat, kita akan hadapi masalah,” katanya.

Menjawab dakwaan pertindihan fungsi antara APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menjaga perairan negara, Shahidan berkata isu itu tidak sepatutnya timbul.

Jelasnya, kedua-dua pasukan keselamatan itu menjalankan tugas secara bersama memandangkan kawasan perairan yang cukup luas dengan TLDM menjaga keamanan perairan negara secara keseluruhan manakala APMM melaksanakan penguatkuasaan.

“Misalnya untuk membawa kapal yang ditahan ke jeti untuk rundingan adalah mengambil masa sehingga beberapa jam dan TLDM tidak boleh melakukan semua ini bersendirian, kita perlukan satu agensi untuk penguatkuasaan ini,” katanya.

Mengenai Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pula, Shahidan berkata setakat ini kerajaan mendapat kerjasama baik daripada semua kerajaan negeri.

Beliau berkata di Selangor misalnya 52,704 unit diluluskan untuk dibina.

“Bagi saya kita jangan politikkan soal rumah PR1MA ini, apa yang penting kita mahu bina rumah untuk rakyat, jika ia dipolitikkan yang rugi rakyat nanti,” katanya.

Terdahulu ketika mencelah, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) mahu tahu adakah kerajaan menghadapi masalah atau kekangan membina rumah PR1MA di negeri Selangor. — Bernama

Advertisement