Anda di sini

Kerajaan rancang guna pakai platform crowdfunding P2P

Advertisement

P2P platform penting untuk perniagaan kecil peroleh pembiayaan

KUALA LUMPUR: Platform pendanaan ramai (crowdfunding) rakan kepada rakan (P2P) berpotensi diguna pakai oleh Kerajaan Malaysia memandangkan ia sudah terbukti telus, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

“Kerajaan sudah pun memberi geran, dan pada masa depan, kita boleh mengkaji potensi platform yang sama seperti ini bagi mewujudkan ketelusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kewangan Digital 2016 dan mengumumkan enam pengendali P2P di sini semalam.

Johari berkata P2P merupakan platform penting untuk perniagaan kecil memperoleh pembiayaan untuk perniagaan masing-masing.

“Hari ini jika perniagaan kecil mahu memohon pembiayaan bank, bank mungkin berasakan projek itu tidak berdaya maju dari segi ekonomi untuk memproses permohonan itu,” katanya.

Enam pengendali berdaftar itu terdiri daripada B2B FinPAL, Kapital, FundedByMe Malaysia, ManagePay Services, Modalku Ventures dad Peoplender.

Johari berkata potensi Malaysia dalam ruang ekonomi digital sangat besar berdasarkan pembiayaan P2P global yang berjaya mengumpul AS$25 bilion pada 2015.

“Segmen ini dianggarkan berkembang kepada AS$96 bilion di seluruh dunia pada 2025,” katanya.

Johari berkata, Malaysia boleh memanfaatkan ekonomi digital berdasarkan potensi besarnya, dan selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2017 bahawa tahun depan akan menjadi tahun Ekonomi Internet untuk Malaysia selain tahun untuk menggalakkan syarikat baharu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Saya berharap menerusi pengenalan pengendali ini, kita akan dapat memanfaatkan inovasi ini untuk memacu pertumbuhan PKS tempatan,” katanya.

Tahun lepas, PKS menyumbang 36 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara yang seterusnya menyumbang 65 peratus pekerjaan, kata Johari.

Sementara itu, Suruhanjaya Sekuriti juga akan memperkenalkan rangka kerja Perkhidmatan Pelaburan Digital tahun depan yang membolehkan pemegang lesen berdaftar menawarkan pengurusan portfolio automatik berasaskan budi bicara.

Pengerusinya Tan Sri Ranjit Ajit Singh berkata rangka kerja itu lebih berkos efektif, saluran yang mudah diakses dan memudahkan pelabur mengurus dan mengembangkan kekayaan mereka.

“Rangka kerja Perkhidmatan Pelaburan Digital ini mungkin dilancarkan pada separuh pertama tahun depan.

“Kami sudah memulakan perbincangan, namun sebelum melancarkannya, kami mahu memastikan ia mempunyai struktur yang betul,” katanya. — Bernama

Advertisement