Anda di sini

Sediakan segera kediaman mangsa kebakaran

Advertisement

Mangsa perlu tempat tinggal baharu setelah hilang segala-gala hak milik mereka dalam sekelip mata

 Ellron menyampaikan bantuan barangan keperluan harian kepada mangsa kebakaran.

SOKONGAN BERTERUSAN: Ellron menyampaikan bantuan barangan keperluan harian kepada mangsa kebakaran.

KENINGAU: Masalah yang dihadapi oleh mangsa kebakaran di Kampung Pagalungan Ansip terutama tempat tinggal perlu diatasi dengan kadar yang segera.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ellron Alfred Angin berkata masalah yang dihadapi oleh seramai 76 orang membabitkan 18 keluarga dan tujuh buah rumah yang terlibat dalam kebakaran pada Ahad itu perlu diatasi segera.

Katanya mereka perlukan tempat tinggal yang baharu kerana kini mereka kehilangan segala-galanya termasuk barang-barang keperluan harian akibat kebakaran itu.

“Justeru, saya meminta agar kerajaan menyalurkan peruntukan khas dengan segera untuk membiayai pembinaan rumah bagi menempatkan keluarga mangsa kebakaran,” katanya selepas melawat mangsa kebakaran yang ditempatkan sementara di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Ansip pada Isnin.

Dalam lawatan itu, Ellron diiringi oleh ketua-ketua jabatan yang berkaitan termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan Jabatan Pendidikan.

Beliau yang juga ADUN Sook berkata kerajaan perlu mengambil tindakan segera mengatasi masalah penduduk kampung berkenaan bukan sahaja bagi mereka yang terlibat dalam kebakaran rumah tetapi juga keseluruhan penduduk perlu dipindahkan memandangkan kawasan perkampungan itu juga sering dilanda banjir.

Menurutnya rancangan untuk memindahkan penduduk kampung berkenaan sudah lama dicadangkan di kawasan yang telah tersedia tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan peruntukan dan kemampuan penduduk.

Dalam masa yang sama, beliau juga meminta penduduk di kampung berkenaan agar bersedia berpindah ke kawasan baharu yang dicadang untuk keselesaan jangka panjang.

Ellron berkata kebakaran yang berlaku melarat dengan begitu cepat disebabkan kedudukan rumah penduduk yang terlalu rapat.

“Ini mungkin boleh dielakkan jika kedudukan rumah yang bersistematik dan jarak yang berjauhan,” katanya.

Mengenai penempatan sementara mangsa dalam beberapa bulan ini, beliau berkata keluarga yang terlibat akan ditempatkan di bangunan sekolah lama SK Ansip yang akan diperbaiki.

Beliau berkata Pegawai Pendidikan Daerah telah bersetuju untuk menempatkan mangsa kebakaran di bangunan lama itu kerana dewan yang dijadikan tempat tinggal mangsa kebakaran pada masa ini sering digunakan pihak sekolah.

Katanya segala bantuan yang difikirkan perlu juga akan terus disalurkan kepada mangsa bagi mengatasi masalah mereka.

“Jawatankuasa Bencana Alam Daerah akan mengadakan mesyuarat bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mangsa mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Menurut Ellron, beliau juga akan membuat laporan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman agar tindakan segera dapat dilakukan untuk membantu mangsa kebakaran.

Sementara itu, Pegawai Daerah Keningau Yusop Osman berkata pihaknya akan memastikan bantuan dapat disalurkan kepada para mangsa dengan sama rata.

Justeru, beliau meminta pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) membuat laporan dengan terperinci termasuk memastikan dokumen penting yang musnah seperti kad pengenalan, sijil lahir dan sebagainya.

Katanya ia penting agar jabatan yang berkaitan dapat mengambil tindakan segera mengganti dokumen berkenaan.

Dalam masa yang sama, Yusop yang juga pengerusi Bencana Alam Daerah meminta agar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang baharu dapat menyalurkan peruntukan untuk membiayai pembinaan rumah bagi menempatkan mangsa kebakaran dan juga perumahan di kawasan yang telah dicadangkan dalam projek pemindahan mangsa banjir Kg Ansip yang telah lama dicadangkan.

Advertisement