Anda di sini

MoU ECER-Guangxi tingkat kerjasama, tarik lebih banyak pelaburan dari China

Advertisement

EWilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan dari China susulan permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) kelmarin dengan Guangxi Zhuang Autonomous Region.

MoU dengan wilayah itu yang terletak di bahagian Selatan Tengah China akan membuka laluan bagi memeprcepatkan peluang perkongsian ekonomi dan pelaburan dalam sektor pembuatan, perdagangan, kewangan dan logistik.

Ini kelaknya akan meningkatkan kuantiti perdagangan dan mewujudkan peluang pekerjaan di ECER dan Guangxi, kata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), yang bertanggungjawab bagi pembangunan ECER, dalam satu kenyataan kelmarin.

Sebagai ekonomi kedua terbesar dunia dan satu daripada rakan dagangan terbesar Malaysia, pelaburan China di ECER menyumbang 38.3 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan rakan sejawatnya dari China, Li Keqiang, menyaksikan majlis permeteraian MoU itu antara Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Naib Gabenor Guangxi Zhuang Autonomous Region, Zhang Xiaoqin.

Najib berada di sini sempena rangka lawatan rasmi enam hari beliau ke China bermula Isnin.

ECERDC berkata kedua-dua pihak juga bersetuju menganjurkan bersama dan menyertai aktiviti ekonomi dan promosi pelaburan.

Jebasingam berkata MoU itu akan mengorak masa depan yang baik bagi kerjasama ekonomi dan hubungan perdagangan yang kukuh antara Guangxi, China dan ECER, di Malaysia.

“Disokong oleh dasar ‘Satu Jalur, Satu Jalan’ China, MoU itu akan menarik lebih ramai pelabur dari China untuk melabur di ECER dan memanfaatkan kedudukannya yang strategik, tenaga kerja pelbagai bakat dan berbilang bahasa serta kesalinghubungan dengan pelbagai pasaran di Asia Pasifik, Asia Barat dan seterusnya.

“Malah, ini juga akan membawa kepada lebih banyak peluang perniagaan untuk pelabur dan usahawan kita yang mahu mengambil peluang daripada pasaran luas China,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada MoU itu, pasukan kerja dua hala akan diwujudkan untuk memastikan pelaksanaan usaha bagi memudahkan pelaburan, khususnya dalam industri berkembang pesat dan utama seperti pembuatan, tenaga alternatif dan boleh diperbaharu, bioekonomi serta makanan dan minuman, katanya.

Beliau berkata sejak beberapa tahun ini, ECER terus menarik pelaburan dalam sektor ini ke kawasan perindustriannya, terutama Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP), yang menerima pelaburan bernilai kira-kira RM20 bilion setakat ini.

Dalam acara berasingan, Wuxi Suntech Power Co Ltd mengesahkan komitmennya dengan ECERDC untuk melabur RM4 bilion di MCKIP.

Syarikat itu mahu mewujudkan pengkalan pembuatan sel solar dan peralatan tenaga hijau melalui pertukaran MoU komitmen pelaburan.

Setakat ini, pengkalan pembuatan itu akan menjadi kilang sel solar tunggal dan terbesar di Asia Tenggara.

Jebasingam berkata, pelaburan skala besar ini berpotensi mewujudkan 5,194 peluang pekerjaan secara langsung serta tidak langsung dan ditambah dengan pemindahan teknologi perindustrian, akan memainkan peranan penting dalam merubah Pahang menjadi negeri perindustrian.

“Pelaburan ini penting kerana ia dipacu eksport dan ia bukan sahaja akan merangsang ekonomi Pahang, tetapi turut mengukuhkan ekonomi negara. Ia juga seiring dengan dasar kerajaan untuk menggalak pelaburan dalam tenaga boleh baharu,” katanya.

Sementara itu, hubungan jalan laut, kereta api dan darat ECER akan diperkukuhkan lagi melalui beberapa projek strategik utama.

Antaranya ialah menaik taraf Pelabuhan Kuantan kepada pelabuhan laut dalam yang kini berjalan mengikut jadual.

Apabila siap, Pelabuhan Kuantan akan berupaya mengendali 52 juta tan kargo dan kapal sehingga seberat 200,000 tan metrik. — Bernama

Advertisement