Anda di sini

Sektor pembuatan penyumbang terbesar GDP Sarawak: Len

Advertisement

Oleh Ambrose Rirang//

 Othman (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Len, semalam.

TANDA PENGHARGAAN: Othman (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Len, semalam.

BINTULU: Sektor pembuatan telah menjadi penyumbang terbesar kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) setiap individu di Negeri Sarawak iaitu sebanyak 26.6 peratus dari tahun 2008 hingga 2014, kata Menteri Muda Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan, Datu Len Talif Salleh.

Jelasnya, jumlah ouput dalam sektor pembuatan di negeri ini telah mencecah nilai RM93.028 juta yang menjadi penanda jelas bahawa sektor ini semakin berkembang maju seiring dengan pembangunan sektor perindustrian di negeri ini.

Jelasnya, perlaksanaan Projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) telah mengukuhkan lagi kedudukan sektor pembuatan dengan setakat ini sebanyak enam syarikat perindustrian telah beroperasi di Taman Perindustrian Samalaju (SIP).

“Pihak kita (Kerajaan Negeri Sarawak) menjangkakan akan lebih banyak lagi syarikat perindustrian akan dibuka di SIP dengan kos pelaburan dijangka mencecah 28 bilion,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Seminar Peningkatan Kemahiran dan Latihan Semula Negeri Sarawak 2016 bertempat di Dewan Emerald, Hotel Promenade Bintulu di sini, semalam.

Jelasnya, melalui perlaksanaan projek SCORE akan memastikan sektor pembuatan menjadi antara penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini yang sebelum ini hanya bergantung kepada industri pembalakan, gas dan minyak serta kekayaan asli yang lainnya yang semakin berkurangan dari hari ke hari.

“Justeru itu, hasil tindakan bijak Kerajaan Negeri telah memajukan SCORE yang merupakan industri tenaga dan berteknologi tinggi yang mana dapat berkekalan sampai bila-bila tanpa terlalu menjejaskan persekitaran serta khazanah biodiversiti setempat,’’ jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Len turut berharap agar semua pihak terutama penggiat industri serta industri hiliran yang lainnya di negeri ini agar sentiasa mengutamakan pengambilan pekerja warga tempatan yang merupakan anak jati dari negeri ini.

Bagi tujuan itu katanya, kerajaan telah mewujudkan sebuah latihan yang dikenali dengan Latihan Pemerkasaan Graduan Sarawak (GETS) yang dijalankan secara kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta di negeri ini.

Jelasnya, setiap pelatih terpilih yang terdiri daripada pemegang diploma dan ijazah sarjana muda akan berpeluang mengikuti latihan di pelbagai agensi terpilih selama 12 bulan yang mana setiap pelatih akan diberikan elaun antara RM800 ke RM1, 000 seorang.

Dalam seminar berkenaan, ia dihadiri lebih 100 peserta seminar yang terdiri daripada penggiat industri dan perniagaan di bahagian ini.

Pengerusi Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) Sarawak, Othman Abdul Rani dan Pengarah Unit Pembangunan Tenaga Kerja di Pejabat Ketua Menteri, Dr Abdul Rahman Deen antara yang hadir pada majlis berkenaan.

Advertisement