KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Ranau Datuk Dr Ewon Ebin menyarankan kepada kerajaan agar menyediakan dana khas bagi pembangunan ekonomi dan keusahawanan masyarakat Bumiputera minoriti negeri Sabah.
Ketika membahaskan Bajet 2017, Ewon berkata masyarakat minoriti negeri Sabah yang terdiri dari kalangan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Bajau, Lundayeh dan etnik lain memerlukan suntikan dana khas bagi membolehkan mereka bersaing dan maju dalam bidang ekonomi dan keusahawanan.
“Oleh itu, satu dana khusus hendaklah diperuntukkan bagi golongan sasar ini agar mereka juga dapat mengecapi hasil kemajuan negara ini,” katanya.
Terdahulu, ketika membentangkan Bajet 2017, Perdana Menteri telah memperuntukkan sebanyak RM140 juta kepada masyarakat Cina dan RM200 juta kepada masyarakat India bagi menggalakkan serta memacu pembangunan ekonomi dan keusahawanan mereka.
“Walaupun ditakrifkan sebagai Bumiputera dan diperuntukkan berjuta ringgit bagi pembangunan ekonomi dan keusahawanan Bumiputera dalam Bajet 2017, namun jumlah sebenar masyarakat Bumiputera minoriti di negeri Sabah yang telah mendapat manfaat dalam program ini dalam belanjawan yang lalu adalah terlalu kecil dan hampir tidak menampakkan hasil.
“Selain itu, para kontraktor dari kalangan Bumiputera minoriti dari negeri Sabah juga tidak diberikan peluang untuk melaksanakan projek-projek mega kerajaan, dan antara sebab mereka tidak diberikan kerja berkenaan adalah kerana kekurangan modal,” katanya.
Ewon berkata berbanding dengan masyarakat lain di negara ini, masyarakat minoriti di negeri Sabah sangat jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi dan keusahawanan disebabkan kekurangan modal.
“Oleh demikian, sesuai dengan tema Bajet 2017, iaitu menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemahkan Perbelanjaan Inklusif dan Mensejahterakan Kehidupan Seluruh Rakyat, maka kerajaan hendaklah menyediakan dana khusus dan secara spesifik bagi pembangunan ekonomi dan keusahawanan Bumiputera minoriti di Sabah, agar masyarakat minoriti di negeri ini juga dapat menikmati hasil pembangunan negara ini,” katanya.