Anda di sini

Yahya nasihat pemimpin tidak terpengaruh dalam cabaran mendatang

Advertisement

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin menasihatkan kepada pemimpin setiap peringkat tidak terpengaruh dalam cabaran mendatang.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, pemimpin yang ada pada masa kini harus tidak goyah menangani segala permasalahan.

“Kita harus kuat dan tidak mudah terpengaruh kerana kita tahu diri kita dan bagaimana untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Kursus Pemantapan Kepimpinan dalam Konteks Pembangunan Masyarakat di sini kelmarin.

Yahya berkata, setiap pemimpin haruslah mempunyai pegangan dan ketetapan yang kuat terutamanya kepada Unit Kepimpinan Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan semua peringkat kepimpinan.

“Sepatutnya kita tahu dan boleh menangkis segala cabaran itu dan tidak mudah dipengaruhi oleh sesiapa pun.

“Apa yang dibangkitkan pihak luar seharusnya kita pandai menepis bagi memantapkan kerajaan dan menjawab segala persoalan mereka,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga menyeru agar pemimpin di setiap peringkat tidak menangguhkan perkara-perkara yang boleh diselesaikan pada masa yang singkat.

Sementara itu, dalam program berkenaan, dua ceramah disampaikan dengan tema pemantapan kepimpinan dan pengurusan.

Pada program itu juga, kira-kira 100 peserta menghadirinya yang mana terdiri daripada UPPM kawasan N.18 Petagas.

Turut hadir, Pengurus Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Selatan Hanafiah Diman.

Advertisement