Anda di sini

Bajet bagi e-dagang tepat pada masanya

Advertisement

PKS perlu guna platform digital untuk kembang perniagaan selain tarik pelaburan asing

KUALA LUMPUR: Peruntukan bajet bagi ekosistem e-dagang Malaysia tepat pada masanya susulan negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Zilzar Tech Sdn Bhd Rushdi Siddiqui berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membentuk tulang belakang ekonomi negara, perlu menggunakan platform digital untuk mengembangkan perniagaan mereka yang dapat membantu meningkatkan eksport selain menarik pelaburan langsung asing.

“Industri halal yang terdiri daripada ribuan PKS, misalnya, telah berada di luar talian dan sekarang masanya untuk kami melibatkan mereka dalam talian supaya produk mereka dapat mencapai pasaran baharu.

“Dengan pengurangan cukai daripada 19 peratus kepada 18 peratus bagi RM500,000 pertama, ini mempunyai kesan langsung dalam membantu PKS untuk terus berkembang dalam industri halal,” katanya kepada Bernama.

Zilzar adalah platform e-dagang halal perniagaan kepada perniagaan (B2B) global.

Rushdi berkata PKS sedia eksport perlu mempunyai akses ke pasaran China, Jepun, Majlis Kerjasama Teluk, Eropah dan Amerika Syarikat, berikutan reputasi baik Malaysia yang mempunyai bahan dan produk halal berkualiti tinggi.

Beliau berkata dana promosi eksport yang ditadbir oleh agensi kerajaan termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan SME Corporation Malaysia berjumlah RM162 juta akan memudahkan dan menggalakkan eksport produk halal ke negara-negara tersebut.

“Zilzar telah membelanjakan banyak sumber untuk melibatkan mereka dalam talian, dan banyak lagi perlu dilakukan.

Kami mengalualukan bukan sahaja lebih banyak PKS dalam talian di Zilzar, tetapi juga mahu mereka melaksanakan pasaran digital antarabangsa dan strategi pemasaran media sosial untuk membawa pembeli produk Malaysia di Zilzar.

“Kami juga gembira mengenai promosi yang akan dilakukan untuk menjadikan 2017 sebagai Tahun Promosi PKS dan Syarikat Permulaan satu realiti, dan yakin industri halal akan diberi penekanan utama,” katanya.

Rushdi menggesa PKS terutamanya syarikat milik wanita dan usahawan muda memanfaatkan Zilzar, yang ditubuhkan pada 2014, sebagai platform untuk menghubungkan syarikat mereka dengan negara yang ingin mereka tembusi.

“Tiada bayaran atas apa yang kami lakukan untuk pelanggan kami, dan kami benar-benar mahu lebih banyak PKS mengambil peluang ini,” katanya, sambil menambah Zilzar turut menyediakan terjemahan kepada 90 bahasa untuk membantu pelanggan mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara.

Mempunyai persamaan dengan Alibaba Group yang berpangkalan di China, sebuah syarikat e-dagang yang menyediakan perkhidmatan jualan pelanggan kepada pelanggan, perniagaan kepada pelanggan dan B2B melalui web portal, Zilzar menyediakan platform untuk perniagaan dan pelanggan menjual kepada antara satu sama lain.

Ia berbeza daripada Alibaba dari segi penekanannya ke atas produk dan perkhidmatan halal, yang kini bernilai AS$1.6 trilion di peringkat global dan diunjur untuk mencecah AS$2.5 trilion menjelang 2018.

Zilzar telah menyenaraikan 2,800 pembekal halal di lamannya, lebih daripada Alibaba, dan mereka diperakui sebagai mematuhi amalan Islam.  — Bernama

Advertisement