Anda di sini

RM50 juta geran FAMA sasar 40,000 ahli Myagrosis dalam kalangan siswazah

Advertisement
 Badruddin bersama Harun melihat barang-barang yang terdapat di Myagrosis K-Shoppe UMS Sandakan.

PUPUK MINAT: Badruddin bersama Harun melihat barang-barang yang terdapat di Myagrosis K-Shoppe UMS Sandakan.

SANDAKAN: Kerajaan telah memberi geran sebanyak RM50 juta kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk melahirkan generasi muda menceburi bidang perniagaan.

Fokus perniagaan menjurus kepada sektor pengeluaran serta pemasaran produk berasaskan pertanian terutama agromakanan.

Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata geran yang diluluskan kerajaan adalah suntikan awal dalam menggalakkan generasi muda, terutama siswa-siswi di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Kesedaran terhadap kepentingan pertanian sebagai enjin ketiga kepada ekonomi negara memerlukan pembabitan golongan belia demi kesinambungan sektor ini,” katanya.

Beliau berkata FAMA menyasarkan keanggotaan Malaysia Agro Siswazah (Myagrosis) di seluruh negara mencecah 40,000 orang sehingga penghujung tahun ini.

“Kelab Myagrosis ditubuh untuk membangunkan generasi muda hari ini bagi melahirkan generasi muda akan datang yang berdaya saing dan maju dalam sektor pertanian,” katanya ketika merasmikan Myagrosis K-Shoppe Fakulti Pertanian Lestari UMS Sandakan sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan FPL UMS Sandakan ke-10 di sini kelmarin.

Badruddin berkata kerjasama melalui pendekatan Strategi Lautan Biru antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan Kementerian Pengajian Tinggi diterjemahkan dengan penglibatan sebanyak 21 IPTA di seluruh negara.

“Sebanyak 13 Insititusi Latihan Pertanian (ILP) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) turut terlibat dalam pelaksanaan Myagrosis ini bagi memperkukuh semangat keusahawanan kepada para pelajar sejak di institut lagi,” katanya.

Beliau berkata program itu berperanan sebagai pemangkin kepada proses percambahan minat dan penglibatan siswa-siswi di IPTA dalam projek Agropertanian melalui Kelab Myagrosis.

Menjelang 2020, katanya disasarkan 20,000 siswa-siswi dan graduan IPTA menjadi ahli kelab berkenaan.

“Sehingga kini ahli kelab terkumpul adalah 26,685 orang dan dari jumlah tersebut seramai 14,609 membuka akaun keahlian di Agrobank,” katanya.

Sebelum itu, Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata UMS giat melakukan penyelidikan pertanian berimpak tinggi melalui tiga institusi penyelidikan UMS.

“Tiga institusi penyelidikan itu ialah Institusi Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Institusi Penyelidikan Bioteknologi (IPB) dan Institut Bioteknologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) turut dibantu 10 fakulti terlibat dalam penyelidikan berkenaan dengan pertanian,” katanya.

Beliau berkata bagi latihan keusahawanan pertanian, UMS telah memberikan tanggungjawab ini kepada Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan untuk memastikan lebih ramai pelajar didedahkan kepada aktiviti keusahawanan.

“Usaha ini disokong oleh Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) Pertanian yang memberi latihan kepada pelajar seluruh negara melibatkan 20 universiti awam, 37 politeknik, 94 kolej komuniti dan lebih daripada 200 institusi swasta,” katanya.

Advertisement